Thursday, March 26, 2009

Renungan Bersama Terhadap Ujian Kenikmatan

Hadis Pertama: Ujian Kenikmatan

“Daripada Ibnu Abbas r.anhuma telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya (rugi) ialah nikmat ketika sihat dan ketika waktu lapang".”

Pendahuluan

Sesungguhnya penciptaan manusia di atas muka bumi ini adalah sebagai satu ujian dan ini dijelaskan melalui firman Allah SWT: yang bermaksudn: “(Dialah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakan di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dialah Yang Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (al-Mulk:2)

Manusia keseluruhannya berada di dalam situasi ujian yang amat hebat dan setiap perlakuan atau perbuatan yang dilakukan sentiasa ada yang mencatatnya. Perlakuan tersebut dilakukan secara tersembunyi atau secara terang terangan, perlakuan yang melibatkan dosa kecil ataupun dosa besar, semuanya akan dicatat oleh malaikat yang ditugaskan. Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaf:18)

Anggota tubuh badan manusia itu sendiri melihat apa yang dilakukan oleh tuannya, semua makhluk melihat apa yang dilakukan oleh manusia malah manusia saling memerhatikan di antara satu sama lain apatah lagi Allah SWT yang merupakan Pencipta manusia dan alam seluruhnya sudah tentu Dia melihat segala apa yang dilakukan oleh makhluknya. Sebenarnya kita tidak boleh lari daripada dilihat oleh makhluk ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Jika kita merasakan mencuri tidak dilihat oleh makhluk lain, sudah tentunya kita silap sebab tangan yang mencuri itu melihat apa yang kita lakukan dan tangan itulah yang akan berkata-kata di hadapan Allah SWT di atas perlakuan yang kita lakukan. Jika dahulu manusia menganggap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW melalui firman Allah SW bahawa segala perlakuan dan amalan manusia akan dipertontonkan di akhirat nanti, ramai di kalangan orang musyrikin mentertawakannya. Nah sekarang, apabila alat perakam sudah wujud, kita mampu menonton kembali aksi-aksi, perlakuan, lakonan dan amalan yang kita lakukan walaupun sudah berpuluh dan mungkin beratus tahun ianya dirakamkan. Ini adalah alat yang dicipta oleh manusia, bagaimana dengan Allah SWT yang mencipta manusia itu sendiri!.

Tempoh manusia di atas muka bumi ini pula hanyalah sebentar sahaja bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah SWT jika hendak dibandingkan dengan kematian yang akan menjemput bila-bila masa sahaja. Sebagai contohnya, seorang pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan; mengetahui bila waktu peperiksaan akan tamat tetapi manusia tidak akan mengetahui sama sekali baki umurnya di atas muka bumi ini. Jika sekiranya seorang pelajar diberitahu peperiksaan yang akan dihadapi tidak mempunyai tempoh masa yang ditetapkan, sudah tentu pelajar tersebut akan menjawab soalan peperiksaan yang diberikan dengan menggunakan ilmu dan usaha yang ada secepat mungkin. Pelajar tersebut tidak akan membuang masa kerana mengetahui masa yang diberikan akan berakhir bila-bila masa sahaja. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada pada setiap muslim dengan bekerja setiap detik untuk berjaya di dalam menghadapi ujian di dunia ini.

Untuk menghadapi ujian, seorang pelajar dibenarkan untuk membawa pen, pemadam dan akan diberikan kertas jawapan yang khas untuk menjawab soalan yang diberikan. Manakala bagi seorang manusia yang menghadapi ujian di dunia ini akan diberikan tubuh badan, masa, harta dan ilmunya serta segala keupayaan dan kekuatan yang ada padanya. Soalan-soalan yang akan diberikan kepada manusia di dalam ujian tersebut pula merangkumi perkara berikut:

a. Suruhan dan kefardhuan yang wajib untuk ditunaikan.
b. Larangan dan perkara-perkara haram yang wajib ditinggalkan.
c. Nikmat-nikmat yang wajib disyukuri.
d. Musibah atau bala bencana yang wajib dihadapi dengan kesabaran.

Huraian Hadis

Hadis yang pertama ini telah mengingatkan kepada kita tentang nikmat yang mesti disyukuri sehinggalah manusia tidak akan menyesal dengan nikmat yang diberikan apabila bertemu dengan Allah SWT kelak. Terdapat banyak ayat-ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita.

1. Nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia adalah terlalu banyak sehingga kita tidak mampu untuk menghitungnya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, maka kamu tidak akan dapat menghitungnya.” (an-Nahl:18)

Nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia adalah terlalu banyak dan di antara nikmat yang boleh dilihat dan dikecapi oleh manusia ialah nikmat iman, akal fikiran, pendengaran, penglihatan, kesihatan, nikmat diberikan anak dan harta benda malah nikmat tubuh badan yang ada pada diri kita ini merupakan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Terdapat satu cerita di mana seorang lelaki yang fakir telah mengadu tentang nasibnya kepada seorang ulama dengan menyatakan Allah SWT tidak memberi kepadanya apa-apapun!. Dijawab oleh ulama tersebut: “Adakah kamu sudi menjual mata kamu kepada aku dengan harga seratus ribu dirham?. Maka lelaki fakir itu menjawab: "Tidak!" Ulama’ tadi bertanya lagi: “Adakah kamu sudi menjual tangan, kaki dan akal kamu dengan setiap satu harganya seratus ribu dirham? Lelaki fakir itu menjawab: “Tidak sama sekali”. Maka ulama itupun berkata: “Bagaimana kamu mendakwa sebagai seorang fakir sedangkan kamu mempunyai beratus-ratus ribu dirham!!!”. Lelaki fakir itupun menyedari bahawa nikmat tubuh badan yang dimilikinya dan nikmat-nikmat yang lain adalah lebih berharga daripada nikmat harta benda.

2. Segala nikmat yang diberikan merupakan satu bala atau ujian. Ramai manusia menyangka bahawa nikmat yang diperolehi merupakan satu penghormatan atau balasan baik yang diberikan kepadanya sedangkan pada hakikatnya ia merupakan satu ujian. Firman Allah yang maksudnya: “Maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan diberi kemewahan di dalam kehidupannya (mereka tidak mahu bersyukur dan terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhan telah memuliakan aku”. Dan sebaliknya apabila mereka diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya (mereka tidak sabar bahkan resah gelisah) serta merepek dengan berkata: “Tuhanku telah menghina aku". (al-Fajr:15-17)

Jika sekiranya nikmat itu merupakan satu penghormatan kepada para Rasul, sudah tentu para Rasul merupakan mereka yang mempunyai harta kekayaan dan lebih kaya daripada orang lain manakala orang-orang kafir pula tidak mempunyai apa-apapun harta di dunia ini. Sebaliknya para rasul diutuskan oleh Allah SWT dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai harta termasuklah junjungan besar Nabi Muhammad SAW sedangkan orang-orang kafir mempunyai kemewahan dan kekayaan yang melimpah-ruah. Perumpamaannya ialah seperti seorang guru memberikan kepada anak-anak muridnya tiga jenis buku iaitu buku bersaiz besar, sederhana dan yang bersaiz kecil. Selepas sahaja selesai mengagihkan buku-buku tersebut kepada anak-anak muridnya, guru itupun berkata: “Di dalam buku tersebut mengandungi soalan-soalan ujian dan jumlah soalan bergantung kepada saiz buku yang diberikan!”. Maka beruntunglah pelajar yang memperolehi buku yang bersaiz kecil kerana soalan di dalamnya sedikit. Manakala pelajar yang memperolehi buku bersaiz sederhana dan besar pula akan berkata alangkah eloknya kalau mereka memperolehi buku yang kecil juga. Ini adalah kerana mereka memperolehi soalan yang lebih banyak dan perlu menjawab soalan-soalan tersebut. Inilah sebenarnya nikmat di dunia ini!. Semuanya akan diperhitungkan di hadapan Allah SWT di atas pemberian-pemberian nikmat yang diberikan oleh-Nya kepada manusia semasa mereka hidup di atas muka bumi ini. Jika sekiranya nikmat yang diberikan banyak, maka banyaklah yang diperhitungkan di akhirat nanti dan begitulah sebaliknya.

Sesungguhnya nikmat kurniaan Allah SWT kepada manusia bukanlah satu penghormatan sebenarnya tetapi ia merupakan satu ujian dan dugaan. Nikmat tersebut bukanlah yang akan menjadi ukuran apabila bertemu dengan Allah SWT bagi menentukan kedudukan kita di akhirat nanti sama ada memperolehi syurga atau neraka. Timbangan dan ukuran yang akan menentukan kedudukan kita ialah iman dan amal soleh. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di kalangan kamu.” (al-Hujurat:13)

Walaubagaimanapun, ramai di kalangan manusia di zaman moden ketika ini terkeliru dengan situasi ini. Ada yang menganggap kurniaan kekayaan sebagai contohnya merupakan balasan baik daripada Allah SWT kepada dirinya. Justeru itu, mereka tidak menganggapnya sebagai ujian. Mereka bangga dengan kekayaan yang dimilikinya walaupun hasil daripada sumber yang haram seperti rasuah, peras ugut, perniagaan yang haram, wang riba dan pelbagai sumber lain yang jelas haramnya. Oleh kerana itu, mereka tetap berusaha menambahkan kekayaannya dengan alasan ia adalah kurniaan daripada Allah. Sungguh silap dan tersesat mereka yang berfahaman sedemikian. Apabila harta haram menguasai jiwa atau hatinya, maka ianya mempengaruhi tindak-tanduknya dan boleh menyebabkan akhirnya mereka terus melakukan kezaliman kepada dirinya sendiri tanpa menyedari bahawa harta itu adalah ujian menilai ketaatannya kepada Allah SWT.

3. Kejayaan terhadap segala dugaan dan ujian ini adalah dengan bersyukur. Syukur terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

a. Bersyukur dengan hati.
Sebagai seorang manusia, kita hendaklah beriktikad dan berpegang dengan pendirian yang kukuh di dalam hati bahawa segala nikmat yang diperolehi dan dinikmati adalah datangnya daripada Allah SWT dan bukannya daripada orang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka kesemuanya datang daripada Allah.” (an-Nahl:53)

Manusia hanyalah merupakan pelaksana kepada ketentuan atau ketetapan Allah SWT. Manusia sama sekali tidak boleh memberi apa-apa manfaat kepada manusia yang lain kerana mereka tidak memiliki apa-apa manfaatpun untuk diberikan kepada orang lain. Janganlah kita mendabik dada bahawa kita berupaya untuk memberi manfaat atau memberi mudharat kepada orang lain kerana kita tidak memiliki apa-apa kuasapun. Justeru itu, silaplah bagi mereka yang berusaha untuk menggembirakan orang lain dengan mendapat kemurkaan daripada Allah dan beruntunglah bagi mereka yang mendapat kemarahan daripada orang lain tetapi tidak mendapat kemurkaan daripada Allah. Inilah garis pemisah sama ada seseorang itu bekerja kerana Allah atau kerana manusia.

b. Bersyukur dengan lidah.
Bersyukur dengan lidah seolah-olah mudah untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya ia memerlukan kefahaman dan komitmen yang berterusan. Selepas kita makan, kita akan berkata “Alhamdulillah” dan ia merupakan satu tanda kesyukuran terhadap nikmat makanan dan kenyang yang diperolehi. Tetapi adakah sekadar ucapan itu sahaja sedangkan lidah kita jarang untuk memperkatakan nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dengan perasaan tawaduk dan jauh daripada sifat riya’. 

Firman Allah yang maksudnya: “Dan dengan nikmat yang diberikan oleh Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebutnya (dan dizahirkan) sebagai tanda kesyukuran kepadaNya.” (ad-Duha:11)

Berzikir, membaca al-Quran, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, menyampaikan ilmu dan memperkatakan perkara yang benar merupakan di antara kesyukuran yang wajib dizahirkan melalui lidah kita.

c. Bersyukur dengan perbuatan.
Firman Allah yang bermaksud: “(Setelah itu Kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai kaum keluarga Daud dengan bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur." (Saba:13)

Bersyukur dengan perbuatan hendaklah dizahirkan melalui nikmat yang diberikan kepadanya. Mereka yang diberikan hidayah oleh Allah SWT hendaklah menyeru manusia yang lain kepada hidayah tersebut dengan menggunakan segala kekuatan yang dimilikinya. Mereka yang diberikan nikmat oleh Allah SWT dengan dianugerahkan kecerdasan akal fikiran hendaklah menggunakannya untuk belajar dan mengajar ilmu tersebut kepada orang lain serta menyelesaikan segala permasalahan umat Islam dengan menggunakan ilmu yang diperolehinya. Mereka yang diberikan oleh Allah SWT kekuatan tubuh badan hendaklah menggunakannya untuk membantu orang lain dan berjihad di jalan Allah. Mereka yang dianugerahkan oleh Allah SWT nikmat kekayaan hendaklah menginfakkannya di jalan Allah sama ada secara terang-terangan atau secara tersembunyi. 

Kesyukuran dengan perbuatan ini memerlukan pengorbanan yang tinggi daripada setiap muslim. Mungkin syukur dengan hati dan lidah mampu dilaksanakan oleh sebahagian besar manusia tetapi bersyukur di kategori yang ketiga ini ramai yang tewas. Berapa ramai di kalangan cerdik-pandai Islam yang menggunakan keilmuannya untuk membantu umat Islam dan negara Islam? Berapa ramai di kalangan ulama’ yang bangun menentang kezaliman dan memperkatakan kebenaran walaupun ianya pahit untuk dituturkan? Berapa ramai di kalangan umat Islam yang memiliki pancaindera yang sempurna membantu umat Islam lain yang sedang ditindas di bumi Palestine, Iraq, Afghanistan dan pelbagai tempat lain yang memerlukan pertolongan umat Islam? Berapa ramai di kalangan jutawan di kalangan umat Islam yang membantu saudara seakidah mereka yang sedang merana akibat tekanan dan kezaliman yang berlaku seperti di Palestine? Persoalan-persoalan ini perlu kita jawab dengan jujur dan dengan hati yang ikhlas malah yang paling utama ialah; kita bertanya kepada diri kita sendiri dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, apakah sumbangan yang telah kita lakukan demi kepentingan Islam dan umat Islam?

Allah SWT menjanjikan kepada manusia dengan perjanjian yang jelas dan menguntungkan iaitu barangsiapa yang bersyukur melalui ketiga-tiga nikmat tersebut maka Allah SWT akan tambahkan lagi nikmat keatasnya. 

Firman Allah yang bermaksud: “Jika sekiranya kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan lagi (nikmat) dan jika sekiranya kamu kufur (nikmat), sesungguhnya azabKu adalah amat pedih sekali.”

Bersyukur merupakan salah satu sebab mendapat kejayaan di dunia. Allah SWT telah memberi pertolongan kepada Nabi Lut as dan pengikutnya dengan menyelamatkan mereka daripada azab hasil daripada kesyukuran dan ketaatan mereka terhadap Allah SWT. 

Firman Allah yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menghantar kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu kecuali keluarga Nabi Lut. Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar) pada waktu pagi (waktu sahur). Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang bersyukur.” (al-Qamar:34-35)

Inilah balasan yang diberikan oleh Allah SWT semasa di atas dunia lagi manakala di akhirat pula balasan kepada mereka yang bersyukur juga amat lumayan iaitu dengan memberikan kepada mereka kebahagian yang kekal abadi dengan memasukkannya di dalam syurga. 

Firman Allah yang maksudnya: “Maka Kami akan memberikan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.” (Al-Imran:145)

Rasulullah SAW telah memperingatkan kepada kita semua tentang dua nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Kesihatan tubuh badan dan akal fikiran merupakan di antara nikmat besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Bagaimana pula dengan nikmat masa lapang? Adakah masa lapang merupakan satu nikmat? Maksud masa lapang di dalam hadis ini ialah masa dan kehidupan di dunia ini. Masa merupakan satu kehidupan. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui hadisnya:

لا تزول قدما عبد –أي يوم القيامة-حتى يسأل عن عمره فيما افناه، وعن علمه فيما فعل، وعن ماله من أين اكتسبه وفيما أنفقه، وعن جسمه فيما أبلاه"

Maksudnya: “Tidak akan melangkah kaki seorang hamba di hari kiamat nanti sehingga mereka akan ditanya tentang umur telah dihabiskannya, tentang ilmu apakah yang telah dilakukan, tentang harta dimanakah diperolehi dan kepada apa diinfakkannya, tentang tubuh badannya bagaimana menggunakanya.”

Maksud masa lapang yang digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis dijelaskan dengan hadis kedua iaitu nikmat umur yang diberikan kepada manusia. Dua nikmat ini iaitu nikmat kesihatan dan nikmat umur (untuk hidup) merupakan nikmat yang memungkinkan manusia memberikan ketaatannya kepada Allah SWT dan akan memperolehi kejayaan apabila menghadapi ujian nikmat ini. Walaubagaimanapun, ramai di kalangan manusia yang tertipu dan leka dengan nikmat yang diperolehi. Mereka beranggapan bahawa nikmat yang diperolehi merupakan satu penghormatan sedangkan ia merupakan satu ujian!. Disebabkan manusia tidak mengetahui bahawa kesemua nikmat ini merupakan satu ujian maka ramai yang tidak mahu bersyukur. Natijahnya mereka akan mengalami kerugian dan akan menyesal di hari kiamat nanti sedangkan penyesalan pada waktu tersebut tidak akan dapat mengubah apa-apa keputusan yang ditentukan oleh Allah SWT.

Ramai di kalangan manusia akan terus leka, tertipu dan mengalami kerugiaan jika sekiranya tidak mengetahui hakikat dan mempunyai sensiviti dengan kurniaan nikmat ini .Hadis ini dengan menjelaskan ramai di kalangan manusia yang tertipu dan sentiasa berada di dalam landasan yang tidak benar. Oleh yang demikian, setiap mukmin hendaklah mengelakkan diri mereka daripada tertipu dengan nikmat yang diberikan kepada mereka. Aqidah, ibadah dan akhlak yang dimiliki oleh orang mukmin hendaklah sentiasa berada di dalam lingkungan yang diredhai oleh Allah SWT walaupun ramai di kalangan umat Islam yang lari dari lingkungan atau garisan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ramainya manusia melakukan sesuatu bukanlah ukuran untuk menentukan sesuatu itu betul. Ukuran yang perlu digunakan oleh setiap mukmin ialah dengan ukuran Islam. Di saat ramai di kalangan umat Islam berada di dalam kerugian, seorang mukmin yang sejati tidak akan terikut dengan situasi tersebut sebaliknya tetap teguh mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. 

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun keburukan yang banyak itu menarik hati kamu”. (al-Maidah:100)

Firman Allah SWT lagi yang maksudnya: “Dan jika engkau menurut kebanyakan manusia yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (al-An’am:116)

Sebagai seorang mukmin, kita hendaklah sentiasa bersama dengan Allah SWT walaupun bilangan sedikit atau dalam bilangan yang ramai. Jadikanlah diri kita Ansarallah yang sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan seterusnya memperolehi ganjaran yang besar apabila diperhitungkan segala amalan yang kita lakukan semasa hidup di atas muka bumi ini. Janganlah kita biarkan hari yang berlalu tanpa ada manfaat apatah lagi dengan kesihatan dan masa lapang yang dimiliki. Janganlah kita menjadikan harta kita diperolehi melalui cara yang haram dan melabur ke tempat yang haram melalui kerja yang dilakukan,malah membelanjakannya ke jalan yang langsung tidak menghasilkan apa-apa ganjaran pahala. Kita telah menggunakan kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT dengan cara yang tidak betul dan ianya amat dilarang sekali. Ramai di kalangan manusia yang tidak memiliki hati yang bersih tidak dapat menilai dan menghargai nikmat kesihatan dan masa lapang yang diberikan lalu menggunakannya tanpa menghayati nikmat tersebut. 

Alangkah ruginya jika kita yang diberikan oleh Allah SWT akal fikiran tetapi menghabiskan masa dalam hal yang tidak boleh memberikan manfaat sama ada untuk dirinya atau kepada orang lain malah langsung tidak memberikan manfaat sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.

Ramai yang tidak menyedari bahawa banyak perkara boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang melalui kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT. Berbuat baik sesama manusia sebagai contohnya bergotong-royong, menziarahi orang sakit, ziarah kubur, membersihkan masjid, terbabit melakukan kerja-kerja sosial, bersahabat denga orang yang soleh, mengemas rumah dan pejabat, bersukan untuk menyihatkan badan, membantu orang fakir, miskin, janda, anak yatim dan banyak perkara manfaat yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Walaubagaimanapun, kita banyak menghabiskan masa di warung kopi, dilaman sembang (chat) yang tidak manfaat, bersiar-siar tanpa tujuan dan perlbagai kegiatan yang langsung tidak memberi manfaat sama sekali. Akhirnya masa yang diberikan oleh Allah SWT berlalu begitu sahaja dan hari ini lebih baik dari semalam tidak wujud di dalam kamus kehidupannya. Manusia tidak dapat mengubah dirinya kecuali dirinya sendiri yang perlu berubah.

Pengajaran Hadis

1. Nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia adalah terlau banyak dan tidak mampu dihitung oleh manusia.

2. Di antara nikmat yang diberikan oleh Allah SWT dan kebanyakan manusia tidak mahu untuk menggunakannya dengan sebaik yang mungkin bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT ialan nikmat kesihatan dan masa (umur).

3. Ukuran benar atau salah terhadap sesuatu perkara bukanlah boleh dinilai dengan ramainya manusia yang mengamalkannya tetapi ukuran yang wajib digunakan ialah dengan ukuran Islam.

4. Nikmat yang diberikan oleh Allah SWT hendaklah digunakan dengan sebaik yang mungkin bagi membantu dan menyelamatkan umat Islam, apatah lagi di dalam suasana yang memerlukan pengorbanan bagi membantu menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia.

5. Nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia sebenarnya merupakan medan ujian bagi mengetahui siapa yang berjaya dan yang gagal dan bukannya sebagai satu penghormatan sebagaimana yang dianggap oleh sebahagian besar manusia.



Ustaz Nadzri Munsman
ISMA Daerah Hulu Langat


sumber;ISMA

No comments:

Post a Comment