Tuesday, May 26, 2009

Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

http://fiqh- sunnah.blogspot. com/ 

Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam agama atau sebaliknya, atau bagaimana.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari’at. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan’ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagai mana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menterjemahkan kegembiraan. Dan walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan) .

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh) . (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim:

“Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab:

“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya) , atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya...” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:

بَارَكَ اللهُ لَكَ

“Semoga Allah memberkahimu. ..” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib.

Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya) .” Mereka pun bertanya, “jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?”

‘Uqail berkata,

“Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.

Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki- Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)

“Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada... (mahram mereka)...” (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk tulisan bertajuk: “Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut al-Qur’an & as-Sunnah” di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk sebuah buku yang baik karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah”, dan buku ini telah pun diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka at-Tibyan dengan tajuk “Jilbab Wanita Muslimah”.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 184, Media Hidayah)

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut ini, anda bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz Rasul Dahri yang telah saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk “Pandangan Syari’at Berkenaan Pemeliharaan Janggut”.

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

“Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas...” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba- Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri) , jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakina n) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadis ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluan nya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil, melukis, menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk tulisan bertajuk, “Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan Menggantungnya”.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Walau bagaimana ia berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat- Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a’lam...

Monday, May 25, 2009

Memahami Hakikat Kehidupan

Bagi seorang Muslim dia amat jelas daripada perkhabaran al-Quran dan juga as-Sunnah bahawa hakikat hidup dunia adalah satu perhentian untuk mencari bekal untuk satu kehidupan yang kekal abadi. Nak atau tak nak semua manusia akan menuju kepadanya. Dan semua manusia adalah sama, bezanya adalah samada dia tahu atau tidak hakikat ini dan apabila dia tahu yang bezanya pula adakah dia bersedia atau tidak untuk menghadapinya.

Kehidupan di dunia ini pada hakikatnya bukan tempat pembalasan sebenar walaupun kadangkala ia nampak macam dibalas baik mereka yang melakukan kebaikan dan dibalas buruk bagi mereka yang melakukan kejahatan. Hakikat sebenar hidup dunia ini adalah tempat ujian dan Allah menjadikan segala bentuk kenikmatan sebagai perhiasan untuk menguji manusia siapakah yang paling baik amalannya.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan segala apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka siapakah yang paling baik amalannya” (al Kahfi 7)

Perhiasan dan Ujian adalah dua perkara yang sinonim, untuk membezakan dan mengkategorikan siapa yang melaluinya. Ada manusia yang tenggelam di dalam perhiasan itu sehingga menyangka bahawa itulah hakikat kehidupan dan tidak ada kehidupan yang lain selainnya(hakikat mereka yang tidak beragama). Ada manusia yang mengetahui adanya kehidupan yang lain selepas ini tetapi tidak mengetahui jalan yang betul untuk menghadapi Ujian tersebut menyebabkan dia juga sesat di dalam Perhiasan itu(inilah hakikat hidup penganut agama selain Islam) . Ada pula manusia yang meyakini adanya kehidupan selepas mati dan mengetahui bahawa dunia ini adalah ujian Allah secara umum, tetapi tidak tahu bagaimana cara ditil yang selamat untuk berjaya menghadapi ujian tersebut( kebanyakan mukmin yang jahil tentang agama), mereka juga akan tenggelam dalam perhiasan yang amat menguji seseorang. Ada pula manusia yang mengetahui semuanya tentang hakikat tersebut tetapi dek kerana Perhiasan itu amat mengujanya dan dek kerana hakikat dirinya yang kalah dengan runtunan nafsu menyebabkan dia menyerah kepadanya( mukmin yg derhaka- ‘Asi -kepada Allah), dan ada pula di kalangan mereka yang tenggelam timbul sekali kalah, sekali menang dan itulah kebiasaan seorang mukmin… dalam berhadapan dengan nafsu dan syaitan…

Kehidupan Adalah Ujian…

Pada hakikatnya semua manusia seolah-olah berada di dalam dewan peperiksaan yang besar yang meliputi alam semesta. Tak kira dia itu seorang pemerintah atau rakyat jelata, seorang alim atau jahil, seorang kaya atau miskin, kesemuanya berada di dalam dewan itu dan kesemuanya akan mendapat keputusan sama ada lulus atau gagal. Di sana ada pemerhati yang senentiasa mencatat setiap tingkah lakunya sama ada kecil atau besar.

”Tidak menutur satu kata-kata pun melainkan di sisinya Raqib dan Atid (yang mencatat segala-galanya)” (Qaf:18)

Begitu juga segala anggota badannya menjadi saksi di atas perbuatannya. Termasuk bumi tempat dia berpijak dan sesama manusia akan menjadi saksi antara satu sama lain dan akhirnya Allah Maha Menyaksi atas segala sesuatu…

Tempoh…

Bermula daripada seseorang itu ditaklifkan (berakal dan cukup umur) sehinggalah ke saat kematiannya, hakikatnya seorang itu berada di dalam peperiksaan. Bezanya kita dengan seorang pelajar, seorang pelajar mengetahui bila tempoh akhir ujian tersebut sedangkan manusia pada bila-bila masa sahaja loceng Izrail akan dibunyikan menandakan tamatnya tempoh ujian tersebut…

Andaikata seorang pelajar tidak diberitahu bila tempoh tamat ujian dan pada bila-bila masa saja kertas ujiannya akan dipungut nescaya dia akan menggunakan setiap saat serta akan memerahkan segala usahanya yang ada untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat tanpa melengahkan dengan apa-apa yang tidak berkaitan dengannya. Begitulah halnya keadaan seorang Muslim apabila dia faham dan sedar tentang hakikat kehidupan ini. Yang penting baginya adalah kejayaan… yang penting baginya lulus… tak kira apa bentuk soalannya dan berapa banyak yang akan ditanya serta senang atau susah soalannya… yang penting lulus dan jauh daripada kegagalan…

Peralatan Ujian

Seorang pelajar peralatan ujiannya adalah pen, pemadam, serta diagihkan kepadanya kertas-kertas soalan dan disediakan kertas jawapannya. Adapun manusia peralatan ujiannya di alam buana ini adalah segala yang dimilikinya, tubuh badannya, masa dan umurnya, hartanya, ilmunya bahkan segala tenaga dan keupayaan yang dikurniakan kepadanya. Itulah peralatan yang digunakan untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat…

Skop Soalan

Ruang lingkup soalan yang manusia akan menghadapi dalam ujian hidupnya amat luas yang boleh kita simpulkan seperti berikut:

1- Segala perintah dan kefardhuan yang mesti dilakukan.

2- Segala larangan dan perkara yang haram yang mesti dijauhi.

3- Segala nikmat dan kurniaan yang wajib disyukuri.

4- Segala kesusahan dan kepayahan yang wajib bersabar dalam menghadapinya.

Kejayaan…

Orang yang akan berjaya hanyalah orang yang dirahmati oleh Allah yang mengikuti Petunjuk Nabi s.a.w. dalam menghadapi kesemuanya itu tanpa lemah atau melampau tanpa mengira daripada golongan mana dia datang. Jika dia daripada pemimpin atau pemerintah maka jawapan yang betul bagi kedudukannya ialah berlaku adil serta menghindarkan segala bentuk kezaliman terhadap mereka yang di bawah pinpinannya. Jika dia ditakdirkan kaya oleh Allah maka dia bersyukur dengan menafkahkan hartanya di jalan yang ditunjuki oleh Muhammad s.a.w. tanpa dipengaruhi sifat bakhil yang bersemi di jiwa. Jika dia alim dan diberi ilmu oleh Allah dia amanah dengan ilmunya tanpa merasa takut dengan celaan orang yang mencela. Begitulah seterusnya jika dia ditakdirkan miskin atau susah maka jalan kejayaan bagi situasi ini adalah bersabar dengan apa yang dihadapinya serta berusaha mencari sebab dan musabbab untuk melepasi kepayahan itu. Jika berjaya keluar dari kesusahan itu kita bersyukur dan jika tidak kita terus bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi yang mungkin menginginkan KEJAYAAN bagi kita dalam bentuk sedemikian… 

”Dan KEBAIKAN AKHIRAT ITU LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL ABADI…" (al-A’la:17)

Semoga kita semua berjaya di dalam menghadapi ujian ini yang tidak diketahui bilakah penghujungnya…

Saudara… Anda adalah Pemikul Risalah

 Anda… siapakah anda? Anda adalah pemikul risalah ini. Tandamu ialah benar dan amanah. Anda hendaklah dikenali sebagai seorang yang amanah dan benar.

1. Benarmu adalah pada lidah. Jangan sesekali berdusta kerana seorang beriman bukanlah seorang pendusta. Benarmu juga adalah pada benarnya niat. Jika kamu benar (niat) kerana Allah, nescaya Allah akan membenarkan kamu. Benarmu adalah pada amalan, maka janganlah terkeluar dari manhaj syara’ yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.

2. Amanah anda adalah amanah dakwah. Janganlah abaikan tanggungjawab ini. Mudah-mudahan kita tidak culas daripada menunaikannya. Amanah ini telah ditolak oleh langit, bumi dan jua gunung apabila ditawarkan kepada mereka. Akhirnya amanah yang berat ini dipikul oleh manusia yang lemah.

Risalah yang kita dokongi ini ialah Islam dengan seluruh kandungannya yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Keimanan kita tidak membahagi-bahagikan Islam kepada juzuk-juzuk yang terpisah antara satu sama lain. Islam ini merangkumi aspek pentadbiran negara dan pembangunannya, ketinggian ilmu dan peradabannya, kekuatan ketenteraan dan pertahanan dari sebarang ancaman musuh, kedaulatan sebagai sebuah negara merdeka, kemajuan ekonomi dan sistem kewangan yang kukuh dan pelbagai lagi unsur ini ada di dalam Islam. Kita beriman dengannya sebagaimana kita meyakini Aqidah dan Ibadah di dalam Islam. Semuanya adalah sama.

Bertitik tolak dari kefahaman yang jelas dan terang ini kita bergerak menyebarkan Islam kepada seluruh bangsa manusia di muka bumi ini bermula dari tanah air kita yang tercinta. Semua Nabi-Nabi yang diutuskan Allah swt memulakan perjuangan mereka dengan berdakwah kepada kaum mereka. Nabi Syu’aib untuk kaum Madyan, Nabi Soleh untuk kaum Thamud. Ungkapan dakwah yang diucapkan mereka sangat lembut. Ya Qaumana…Wahai Kaum dan bangsaku. Itulah seni mereka menunaikan perintah Nubuwwah oleh Allah swt ke atas mereka. Sebagaimana mereka diperintahkan, begitu juga kita semua turut diperintahkan menyampaikan risalah. (At-Tabligh).

Saudaraku, anda adalah para utusan Rasulullah saw. Di tangan anda sebuah tanggungjawab kenabian yang perlu dilaksanakan dengan segera. Lengah dan leka bukan sifat para utusan agung ini. Ketahuilah lewatnya kita sedetik bermakna lewatlah tarikh kemenangan umat ini. Cuba renungi pengajaran yang terdapat di dalam kisah Lelaki yang dicatatkan dalam surah Ya Sin. ”Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutilah Rasul-rasul itu” (Ya Sin:19). Lelaki ini bersegera berlari pantas dari hujung bandar. Iman yang mendalam ke dasar mendorong dirinya untuk berlari seolah-olah masa sudah terlewat. Juga dia berlari dari hujung bandar bukannya dari tempat yang sama. Ini menandakan kesesungguhan lelaki ini melaksanakan amanah yang ada padanya. Dia ingin melepaskan dirinya daripada segala ancaman azab di hari Akhirat nanti. Akhirnya, usaha lelaki itu diganjari Allah swt. “(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Ia berkata; Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui. Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan" (Ya Sin:25-26). 

Lihatlah kesungguhan dan kecintaan seorang pendakwah kepada kaumnya tidak luntur meskipun dia telah masuk ke dalam Syurga!! Ma Sya Allah! Lelaki itu masih lagi berbicara terkenangkan kaumnya di dunia sedangkan dirinya sudah diredhai Allah dan mengecapi kelazatan nikmat taman-taman syurga.

Oleh: Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Pengerusi ISMA-Mesir
Sumber: Blog Ustaz Shuhaib Ar-Rumy

Liberalisasi Sektor Perkhidmatan

Pengumuman YAB PM tentang penghapusan 30% ekuiti Bumiputera didalam 27 sektor perkhidmatan dilihat sebagai langkah untuk menarik ramai pelabur asing membuka perniagaan mereka di negara ini. Ini termasuklah sektor perubatan, pelancongan, pengangkutan komputer dan runding cara perniagaan. Dengan pengucupan sektor perkilangan akibat perpindahan syarikat-syarikat besar ke negara-negara seperti China dan Vietnam, yang mempunyai kos buruh yang lebih rendah, kerajaan menjangkakan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan banyak disumbang oleh sektor perkhidmatan. 

Pada tahun 2008 sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 55% dari jumlah Keluaran Negara Kasar (GDP) dan meyediakan 57% dari keseluruhan jumlah pekerjaan negara. Sumbangan ini dijangka akan mencecah ke kadar antara 60% - 70% di masa hadapan. Dari segi pelaburan, sektor perkhidmatan telah menarik sejumlah RM50.1 billion pelaburan dengan syarikat asing menyumbang sejumlah RM5.6 billion. Menurut World Trade Organisation (WTO), Malaysia merupakan 30 negara teratas di dunia di dalam mengeksport perkhidmatan dengan kadar eksport sejumlah RM102.1 billion pada tahun 2008.

Pertambahan sumbangan ini sudah tentu menuntut satu pendekatan yang agak drastik dari pihak kerajaan demi menjamin pertumbuhannya di masa-masa akan datang. Keadaan ekonomi yang meruncing masa ini yang mengakibatkan hampir 170,000 rakyat telah hilang perkerjaan, menyebabkan kerajaan agak terdesak untuk membangunkan kembali ekonomi supaya dengan itu peluang-peluang pekerjaan dapat disediakan. Ini bukan sahaja bagi mengekang kadar pengangguran dari meningkat malah memberi harapan kepada graduan universiti yang tamat pengajian yang di anggarkan berjumlah seramai 60,000 orang setahun.Ia juga selaras dengan perjanjian liberalisasi perniagaan ASEAN.

Sebenarnya isu ini sudah lama di ketengahkan oleh sebahagian usahawan negara terutama usahawan Cina yang merasakan syarat 30% ekuiti Bumiputera itu membebankan syarikat asing untuk membuka perniagaan di negara ini.

Beberapa implikasi liberalisasi ini akan berlaku :-

1. Terhapusnya peniaga kecil

Syarikat-syarikat asing yang besar akan mengunakan peluang ini untuk membuka perniagaan di sini. Kemampuan mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik berbanding dengan syarikat-syrarikat kecil tempatan akan mengakibatkan banyak syarikat tempatan yang mungkin terpaksa gulung tikar. Peluang untuk menaikkan syarikat tempatan, terutama Bumiputera, akan terbantut.

Walaupun kerajaan menyeru rakyat, terutama Bumiputera, supaya kompetatif (level playing field), namun realitinya syarikat-syarikat tempatan Bumiputera masih jauh ketinggalan kebelakang. Kegagalan GLC sendiri untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera selama ini akan menyebabkan keadaan akan menjadi lebih parah. Objektif DEB untuk mencapai 30% ekuiti Bumiputera akan menjadi bertambah jauh.

Dari aspek pekerjaan, dijangka syarikat-syarikat besar ini akan mengekalkan penguasaan mereka pada jawatan-jawatan tertinggi dan mungkin juga di peringkat pertengahan. Ini akan menyebabkan peluang anak tempatan untuk memegang jawatan penting tidak akan ada.

2. Pengaliran wang ke luar negara

Jumlah wang yang dialirkan ke luar negara akan bertambah dengan kewujudan syarikat-syarikat perkhidmatan besar ini. Ini akan menjadikan kos pertukaran wang bertambah. Balance of Payment akan menjadi negatif.

3. Kesan kepada polisi kerajaan

Dengan kehadiran syarikat-syarikat asing yang besar ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa merubah banyak polisi terutama di dalam pemberian peluang-peluang perniagaan kepada Bumiputera. Mereka sudah tentu akan mendesak kerajaan untuk memberi kontrak mengikut merit dan kemampuan syarikat bukan lagi atas dasar Bumiputera. Ini akan memberikan tekanan kepada kerajaan yang mengakibatkan peniaga Bumiputera akan bertambah tersisih.

4. Penguasaan ekonomi negara oleh bangsa asing

Jika sekiranya sektor perkhidmatan ini merangkumi 60% dari GDP negara, ini bermakna bahawa sebahagian besar ekonomi negara akan dibolot oleh bangsa asing. Kalaulah kita lihat masa kini kebanyakkan kontrak-kontrak besar sudahpun terlepas kepada syarikat asing terutama dalam bidang-bidang pembangunan maka cuba bayangkan apabila syarikat asing juga akan mula menguasai bidang perkhidmatan. Apa lagi yang harus ditinggalkan untuk peniaga tempatan ?

Pembangunan ISKANDAR sudah cukup memperlihatkan bagaimana banyak tanah-tanah Melayu telah dipindah milik kepada bangsa asing, maka tidak mustahil harta-harta yang lain juga akan berpindah milik jika liberalisasi ini tidak di kawal.

Yang lebih menakutkan, kalaulah negara masih di elubungi dengan politik wang iaitu 'wang penentu jawatan', maka mungkinkah peniaga-peniaga asing ini akan pula dapat menguasai politik negara kerana mereka mampu membekalkan wang yang banyak kepada ahli-ahli politik?

Untuk itu kita menyeru pihak kerajaan supaya melihat isu ini dengan lebih mikro supaya pertumbuhan ekonomi ini dapat diagihkan kepada anak-anak tempatan terutama Bumiputera. Kita tidak menolak liberalisasi tetapi pertimbangan haruslah diberi dalam menjaga maruah bangsa dan negara. Keghairahan dalam hendak membangunkan ekonomi negara tidak harus dibuat dengan mengabaikan kepentingan bangsa sendiri.


Aminuddin Yahaya
Setiausaha Agung
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

LAPES 2..........

ni la sebahagian perjalanan aku layan je la........

Laporan pertama disediakan oleh saudara shafiq(owl_um)

Pengalaman Kem LAPES(LATIHAN PENINGKATAN SAHSIAH) 2 yang baru berakhir semalam di CUIS(CAHAYA UMMI ISLAMIC SCHOOL), sekolah Kak Mar. Terima kasih kepada pihak sekolah yang menjemput Team UC....


Facilitator:

1.  umar khalil
2  sirat
3. abg. khalifah
4. Owl(shafiq)
5. trouver_99 (Ikram)
6. khalil (housmates Ustaz Ismail).
7. hafiz (KUIS) 
8. Kak Yati
9. Adibah (student accountancy, Kolej Polytech MARA, Bangi)
10. Cikgu Wani (Bangi, si garang)
11. Husna (wakil YB Bangi, si aerobic)
12. seorang muslimat yang sering ditegur umar pasal serai tapi
apa tah nama dia. LAPES 1 pun dia ada. tak kenal. 

Assisted by:
1. Kak Mar (cikgu sekolah)
2. Cik Atikah (cikgu sekolah)
3. mohammad Azhar (ustaz jambang)

Sangat kepenatan melayan bebudak ni... Tapi menjadi bersemangat mengenangkan ia adalah misi yang telah di-assigned kepada kami... Maka dengan penuh berusaha menunaikan tanggungjawab walaupun memang sangat kepenatan... Paling syahdu apabila Kak Yati dan Cikgu Wani membaca sajak yang Indra (TT) post dalam group nih (Credit to Indra, the facilitators were using your post about EMAK)... Sebak gler terutamanya bila Kak Yati sendiri pun mula nangis... Uhuk Uhuk... Hampeh, dengan aku sekali boleh jadik cair... 

Saat-saat beess yang lain...
1. Sirat menjelaskan mengenai 25 Rasul. Memang superb aaarr Sirat. Tahniah.
2. Ikram, awat laah hang tak hurai skeeett walaupun basic mengenai sifat-sifat Allah (20 sifat). Nervous ka? Bebudak tu macam blur sket walaupun memang depa hafal dengan sangat baik sifat 20. Sangat bagus ingatan bebudak tu. Hafal dengan memahami dua benda yang berbeza ya. Apapun, tahniah Ikram.
3. umar, ketua faci yang bagus dan ramah dengan bebudak tu. He knows on how to deal with the children where - Im not good with the children. Maaf sekiranya ada kekurangan. Terutamanya masa Fiq cuba menghuraikan apa itu Bethlehem, apa itu Jerusalem, apa itu Holy Land, dan apa itu Palestine dan sejarah Perang Salib (The Crusade). Macam berat plak topic nih. Aaahh, buh jeekk... p/s: Masa sesi ni Sirat keluar gi mana tah ngan Mohamad. Payah nak handle. Ikram plak tak sampai lagi masa ni.
4. Ketika sesi riadah petang. Hahahahaha!!! Rasanya Fiq yang paling tak sabar main-main ngan bebudak nih. Huhu. Faci plak yang melebih-lebih. Tergolek aku main ngan bebudak nih. Syyookk wwwooo main bola ngan dorang...
5. Husna (ardani) handle aerobic. Huhu!!! Bess kan lagu dia. Poco-poco ek? 
6. Hafiz memang dasat aarr bila main tepuk-tepuk dengan bebudak niiee... Suka betul bebudak tuh.
7. Cikgu Wani garang (mewarisi Shye). She has showed a good performance.
8. Adibah? No komen. 
9. Fiq? Saya menjelaskan proses fotosintesis (peranan karbon dioksida dan oksigen) kepada bebudak group saya. Bess dan seronok. Dan alamak, untuk satu sesi slot tu, tersilap mendengar arahan. Haha... Salah Fiq. Adeh. Ada ke dikata macam cerita pengalaman faci, bukan pengalaman bebudak. Huhu.

p/s: Kesimpulannya, memang beesss.


(laporan kedua dr ana sendiri.umar khalil al palongi)

pagi jumaat lagi aku teringatkan kak mar n kak ismi atikah...huu agak rasa bersalah aku dibuatnye sbb bgtau penarikan diri pd saat akhir.sebab jene keje ujung minggu tu,,aku dah janji nak hadirkan diri ke program tu pd awlnye....aku kol kak ismi..tak dpt,,aku kol kak mar...dia tak angkat....mayb dorg ade class....xpe la..
 
tumpuan aku kat keje mmg xde,,so aku amik keputusan aku amik cuti stgh hari,,pas jumaat aku terus blik umah...ape yang aku wat,,semua tak kena...ape nak wat ni ek...tgh lepak2 tgk tv,,azrol blik dr kampung,,tanya ckit hal2 kampung,,,pstu bincang dgn dia,,alhamdulillah..dia setuju gantikan aku keje pada hari sabtu n ahad...thanks rol,,
 
aku terus kol kak mar menyatakan kesediaan aku semula utk berkhidmat dalam lapes 2...pastu aku kol kak yati plak,,sbb nak tumpang dia,,mentang2 la keta aku tak idup roadtax lg..ahaks,,So dgn muka tak malu..aku tumpang la kak yati utk ke cuis...so pemintaan aku diperkenankan oleh puteri dr tawau itu...
 
kami sampai kat batu muda kul 11 mlm gak la..terus g umah abg pidot(panggilan baru abg firdaus aka khalifah)..bg muslimin tido umah abg pidot..muslimah plak tido umah ismi atikah..hurmm...
 
soknye plak program lapes 2 bermula...aku bermukadimah utk 1 slot mulanya...aku rasa mcm xde ape pun ,,,mana aura aku ni???hehehe...da jd terlalu santai plak...hurmm xpe la..amik mood jap lg....
 
pastu pas zohor...satu slot mengabung seluruh kretiviti para fasi...membaca sajak yg TT postkan tu..dimulakan oleh cik wani kita,,,mmg sempoi n gaya keanak2an sesuai utk adik2 yg mendengar puisi itu...dan di rangkap terakhir,,kak yati amik plot tersebut...dr nada yang telus dr hati seorang anak yang berjauhan dr ibunya....sampai ke setiap ati yang mendengarnye...kena plak sirat psang lagu yg syahdu,..mempengaruhi lagi keberkesanannya...kak yati bermula dgn madah yang lembut...ati aku nak nangis ni...aku diamkan diri...dan kak yati ke baris seterusnya...aku ingat mak aku....air mata nak bergelinangan dah,,tp kontrol lagi...dan kak yati teruskan lg,,waaaa,,,empangan mata ku da mula retak...tgk2 da abis..aku tampal retak empangan tu dgn simen istighfar...
 
pastu slot main2 diwaktu ptg,,,dinamakan slot aulad cergas...budak2 tu suke la...tp perancangan awlnya telah dimusnahkan oleh owl um.....dia tak sbr2 nak main bola dgn budak2 ni...terus tak jadi senam eorobik...ape raa....aku turun dr surau,lor...budak2 dah tak dikawal...penat je aku n sirat download lagu,,cis ko owl,,cis dan cis cis lg.!!!!!
 
dan aku pun...tak tunggu lama..main bola jaring dgn sirat..mohammad n abg pidot(diulangai,,nama baru utk abg firdaus aka khalifah,,suami kak mardiah,ayah kpd izzah)...best main rebut2 bola tu,,kalahkan org pom main menatang tu...huhuhuhuh....
 
dan hampir margrib...aku tiupkan wisil,,,dan mereka perlu pergi membersihkan diri masing2..
 
seusai isyak...slot setrusnya dinamakan cinta rasul...hurmm....disini abg sirat kita memainkan peranan...menyoal peserta nama2 nabi dalam english verse...dan di akhir penutup dan pengulungnya utk slot tu,,aku amik alih bebarapa hadith dan surah aku petik utk mengajak peserta kenali siapa itu rasulullah...tp tak sangka plak,,aku gagal dlm tu,...aku g cite dgn gaya aku berhadapan dgn org2 dewasa,,sdgkan dpn aku semua adalah adik2 comel lg...huhuhu...
 
dan malam itu post mortem..hurmm...dr situ kita muhasabah....ucapan dr kak mar,,mmg bertenaga dan berselangkan nasihat bergune adanya..thanks kakak...
 
keesokannya seawal pagi qiamulail start...dan di ikuti subuh menjengah tiba...seusai subuh aulad2 itu dah bersedia utk sertai aulad cergas,,dan...aulad cergas utk senam robik berjaya..bukan sng robik namanya..tp ape ntah...chikcky2x ke ape...husna yang handle,,wakakakakaa....aku tak dpt thn gelak aku...tersenyum je aku dibuatnye..ahaks.....papepun aku tgk aulad2 tu happy...
 
dipendekan cerita..dah sampai penutup....adik2 disana berjaya tamatkan kursus itu...tahniah utk korg,,,pas zhor...faci keletihan...dan kami bersurai.....
 
kepada smua guru CUIS,,,,fasilitator2....dikesempatan ini aku meminta ampun dan maaf..jika ade keterlanjuran kepada smua yang terlibat...apekan daya kdg2 kesilapan tu tak disedari..mujese maaf karena....ahaks...dan aku pun balik...
 
dalam perjalanan blik....mcm2 benda kami borakkan spanjang LAPES...mula g bangi...hnt wani n husna..pastu g pandan..kak yati ckp.."kesian ko umar,..nasib la..semua org ko hantar depan pintu...ko plak naik train..dah la slalu kena marah"huhuhuhu....aku tersengih2 je la..
 
sampai umah...aku campakkan diri aku ke atas sofa(weii,,umah aku ade sofa weiii,,hahah)..bukak tv...termenung pjg...adakah aku dah berjaya mentarbiah anak2 agamaku?????........
 
sekian dr..umar khalil al palongi...

Muslim dan Dunia Kepenggunaan

Disebut sahaja muslim dan pengguna, bagai merpati dua sejoli. Tidak boleh dipisahkan, tidak mahu terpisah, atau mungkin juga mememilih untuk kekal bersama. Kita sudah sebati diistilahkan sebagai pengguna sejati. Malah ada juga yang berbangga dengan status itu. Mana tidaknya, apabila memperagakan produk keluaran syarikat asing pada diri dan dengan mudahnya menjadi tumpuan masyarakat, itu sesuatu yang membanggakan. Baik dari aspek pakaian, makanan, jenama telefon bimbit, alatan solek dan pelbagai lagi perkara yang menjadi pilihan kita. Bukan untuk menuduh sesiapa, namun setuju atau tidak, itu hakikatnya.

Apa yang ingin dikongsi kali ini, mari kita renungi dengan lebih mendalam, akan apa yang berlaku sekarang ini. Mengapa kita menjadi masyarakat pengguna? Adakah kita masyarakat pengguna? Salahkah kita menjadi pengguna yang setia kepada sekalian produk yang ada? Adakah muslim itu sendiri memiliki produk untuk dipasarkan? Mana yang harus diutamakan, antara menyokong mereka atau memilih yang terbaik untuk diri kita? Inilah rangkaian soalan kepada kempen boikot yang sibuk dicanangkan mutakhir ini. Benarkah ini paksi persoalan kepada fenomena ini?

Secara terbuka, bukan itu semata-mata persoalannya. Demikian adalah isu-isu kecil. Masih ada yang tersingkap disebaliknya. 1924, Turki. Itu jawapannya. Andai ada peluang, balik ke sana dan ambil jawapannya. Kini yang tinggal hanya lipatan sejarah, yang giat mahu ditebar dan dibuka kembali. Tatkala runtuhnya empayar Khalifah Islam Turki Uthmaniah, Islam ibarat rumah yang keruntuhan tiang serinya. Angkara kmplot licik musuh dengan Attartuk sebagai boneka, segala yang dimulakan nabi kita, Muhammad, ranap. Ranap satu sistem yang menjadikan rububiah dan ubudiah sebagai tunjang. Sistem berteraskan syahadah dalam segenap aspek kehidupan lebur. Natijahnya, al-Quran dan sunnah jauh dari diri individu itu.

Kebrobokan sistem dan kebejatan sosial mutakhir ini segalanya berpunca daripada itu. Runtuhnya sistem Islam manyebabkan kita tiada lagi naungan dan bercerai-berai. Bagai anak-anak ayam bertempiaran lari jadinya. Ini membuka ruang buat pelbagai sistem ciptaan manusia yang rakus dan menjauhkan Islam mentadbir bumi. Dari sudut siasah, politik, pendidikan, pentadbiran, ketenteraan, sukan, penyiaran, malah tidak terkecuali juga perniagaan, okonomi, dan perindustrian. Lihat sahaja di Malaysia ini, meski tampuk pemerintahan itu kita yang pegang, namun ekonominya, dijana bangsa lain. Yang menjadikan kapitalis sebagai tunjang. Lebih 50% ekonomi dipegang bangsa Cina. Hatta sampai ke pekan-pekan kecil sekalipun, bangsa ini masih membuka kedai untuk berniaga. Mereka sudah menjadikan ini sebagai satu budaya. Dan kita, masih terus menjadi pengguna yang setia.

Apabila tiada sistem Islam yang mahu menaungi ini, produk kita sukar dipasarkan. Yang diutamakan adalah produk bukan Islam. Media yang tidak berteraskan Islam telah mempromosikan produk tersebut sehangat mungkin. Televisyen, akhbar dan lain-lain. Maklumat mengenainya sentiasa sampai kepada masyarakat. Apabila sudah kerap dibekalkan dengan info mengenainya, kita pasti mencubanya. Dan sasarannya adalah anak-anak kita. Ya. Mereka adalah golongan sasaran. Jika semenjak kecil dididik makan KFC, MC Donald, Starbucks, dan seumpamanya, pasti berubah malah ketagih selera mereka. Apabila berulang dan berterusan sistem ini, kita bakal menjadi umat pengguna secara total.

Yang lebih menyedihkan, bukan sahaja makan cara barat, malah pakaian, pergaulan dan lebih menyedihkan pemikiran juga menurut acuan barat. Apabila pemikirannya begitu, segala sistem yang mahu diterapkan barat dalam negara kolonial itu misalnya diterima semata-mata. Inilah kesan menjadi pengguna sahaja. Yang menyedihkan, kita yang memilih jalan ini, dan yang lebih menyedihkan, kita turut memilih untuk terus berada dalam jalan ini. Tanpa mahu bangkit dan terus menegakkan hak-hak kita.

Penyelesaiannya? Memadaikah dengan hanya menghebahkan negara ini mahu menjadi hab halal dunia? Cukupkah dengan hanya mengeluarkan dan menyokong produk-produk muslim? Ya, ini sebahagian daripada yang kita perlu lakukan. Namun, yang lebih besar itu perlu kita lihat dan tafsir sebaik mungkin. Manakan dapat terjual produk muslim jika tiada pembelinya. Masakan pembeli mahu membeli jika dia sendiri juga tidak memahami mengapa perlu membelinya. Dan masakan pemahaman itu dapat dipupuk dan dicerna jika tidak melalui satu proses pendidikan yang berterusan. Bukanlah bermaksud membuka matapelajaran kepenggunaan, namun, mendidik hati agar sentiasa peka akan isu umat. Sentiasa mahu mengutamakan yang halal daripada muslim. Dan yang perlu lebih diterapkan adalah bahawa kepenggunaan ini berkaitan dengan isu khalifah. Pengguna perlu nampak kepentingan memiliki sistem khalifah yang bisa menjadi penaung dan payung kepada sekalian umat termasuklah dalam isu kepenggunaan ini. Maka yang lebih utama adalah membina khalifah. Bermula dengan individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, menolak pemerintahan asing, membentuk pemerintahan muslim, membina khalifah, dan akhirnya menjadi mahaguru, tuan, dan pusat rujukan dalam alam ini. Ini matlamat kita.

Bukan niat penulis untuk merendahkan usaha jihad melalui penghasilan produk ini. Teruskan. Umat amat memerlukan usaha ini. Namun, perlu difahami, usaha ini tidak akan menemui puncak kejayaannya melainkan kita memiliki khalifah. Itu penaung kita. Maka, duhai sekalian umat, ayuh bertatih,bergerak malah kemudian berlari kearahnya. Carilah sekalian banyaknya wadah-wadah yang menuju ke arah ini. Moga impian kita daripada pengguna kepada pengeluar menjadi realiti.

Oleh: Mohamad Ad bin Satiman
Sumber: Blog Syababqawi

Mengubah Mungkar Hendaklah Tidak Membawa Kepada Mungkar Lebih Besar

 Saya ingin mengenengahkan satu kaedah masyhur yang merupakan syarat dalam melakukan amar makruf nahi mungkar. Syarat tersebut ialah mengubah mungkar hendaklah tidak membawa kepada berlakunya mungkar lebih besar.

Kita tidak khilaf mengenai kewajiban mengubah kemungkaran, tetapi di sana ada syarat dalam kita melakukan tugas mengubah mungkar yang harus direnungi secara mendalam.

Pertama, syarat kemampuan.

Kita semua faham bahawa mengubah mungkar bergantung kepada kemampuan berdasarkan hadis yang bermaksud; “barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah dengan tangannya, kalau dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kalau dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”. Setiap orang bertanggungjawab berdasarkan kapasiti masing-masing. Jadi kalau saiz kita kecil, tak usah nak berlagak seperti orang besar.

Kedua, syarat yang menjadi tajuk bicara kita kali ini iaitu mengubah mungkar hendaklah tidak membawa kepada berlaku mungkar yang lebih besar.

Maksudnya selain kemampuan, kita juga kena mengkaji kesan atau akibat daripada tindakan kita. Semangat kita mungkin mendorong kita secara serta-merta ingin mengubah realiti yang ada tanpa memikirkan akibat samada akan lebih baik atau lebih buruk. Yang penting bagi kita, kita sudah cukup meluat dan benci dengan yang ada dan apa sahaja angin perubahan yang datang, kita akan sokong dan buat perubahan serta-merta.

Sebenarnya Islam tidak mengajar kita begitu. Islam meminta kita tidak tergesa-gesa, sebaliknya menilai dulu akibat. Jika yang akan datang lebih buruk daripada yang sedia ada, baik jangan, relax dulu. Ini bukan kerana redho dengan kemungkaran yang ada tetapi tidak mahu perubahan mungkar pada waktu ini akan membawa mungkar yang lebih besar. Oleh itu kita kena sabar dulu, buat persiapan yang cukup dan pastikan perubahan yang dibuat adalah yang membawa natijah yang lebih baik.

Orang yang memiliki kefahaman yang mendalam tidak akan tergesa-gesa dalam melakukan perubahan. Lihat apa yang berlaku kepada Iraq, mereka tertekan di bawah Saddam dan kezaliman Saddam lalu mengundang Amerika untuk bantu dan mereka sokong Amerika, tetapi siapa boleh nafikan bahawa apa yang mereka hadapi hari ini lebih teruk daripada apa yang mereka hadapi di zaman Saddam.

Oleh itu saya menyarankan harakah Islamiah agar tidak gelojoh mendambakan perubahan sebelum tiba waktunya. Dalam keadaan persiapan kita lemah, kapasiti kita lemah, komposisi kita lemah dan segalanya lemah, perubahan boleh mengakibatkan wujud suasana yang lebih mungkar lagi daripada yang ada sekarang.

Seperkara lagi yang perlu kita renung dalam melaksanakan nahi mungkar ialah dari aspek keutamaan. Saya nak tanya, kalau anda bertemu wanita yang tidak menutup aurat, bagaimana anda menilai kemungkaran padanya. Adakah anda akan melihat satu mungkar itu sahaja iaitu tidak pakai tudung atau banyak lagi?

Bagaimana anda lihat dari segi;
1. akidahnya
2. kefahamannya
3. ilmu agamanya
4. ibadatnya
5. suasana sekitarnya
6. dll.

Mungkar mana yang anda akan mula dahulu? Kalau anda sergah dia, adakah dia akan jadi baik atau dia akan benci anda, benci pakai tudung dan benci Islam itu sendiri? Begitu juga kalau kita nilai masyarakat kita hari ini secara keseluruhan, bolehkah kita meyusun tertib mungkar yang ada pada mereka dan tentukan mungkar mana yang kita nak ubah dulu?

Isu yang banyak diperbincangan kini seperti isu mat rempit, kalau kita pacak seorang mat rempit di hadapan kita dan kita bedah siasat akidah, ibadah, pemikiran, ilmu agamanya dan lain-lain, mungkar merempit itu datang ke nombor yang keberapa?

Sebab bagi saya dalam keadaan kualiti agama masyarakat sudah rosak, pendidikan dan pembinaan sakhsiah tidak berlaku dengan betul, apa-apa hukuman hanya boleh jadi rawatan luaran dan sementara seperti rawatan first aid sahaja. Ia bukan rawatan sebenar.

Oleh itu mengubah kemungkaran di zaman masyarakat yang rosak dan telah kembali kepada kehidupan jahiliah ini hendaklah dilakukan dengan penuh kefahaman, bukan secara sembrono sahaja. Mungkar yang dilakukan dalam masyarakat yang faham Islam, cara ubahnya tidak sama dengan masyarakat yang tidak faham Islam sepeti yang kita hadapi hari ini. Kena ikut A, B, C nya.


Sunday, May 17, 2009

Renungan Dalam Surah an-Naba’

Ketika dakwah Nabi Muhammad s.a.w. baru bermula, Allah SWT mendedahkan rahsia kehidupan sebenar yang telah disediakan untuk manusia. Kehidupan abadi selepas mati. 

Sebelumnya manusia hidup merebut kenikmatan dunia dengan apa saja cara yang mereka suka tanpa ada batasan. Yang kaya dan berkuasa dipandang mulia. Orang yang miskin dan lemah menjadi hamba dan hidup kehinaan.

Pembunuhan kejam, penghinaan kepada bani insan adalah lumrah hidup manusia yang berkuasa. Memendam dendam, kebencian, kebengisan dan menunggu peluang membalas dendam adalah budaya semua manusia yang teraniaya.

Neraca pertimbangan mereka hanya terbatas kepada kehidupan dunia yang terlalu singkat, semasa usia masih muda dan bertenaga dan akan hilang lenyap apabila usia menjamah tua. Dalam sempadan masa yang sempit itu mereka bergelut, berebut menggunakan apa saja cara tanpa batasan.

Kejahilan manusia terhadap hakikat Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah dan kejahilan terhadap hakikat kehidupan sebenar menjadikan tamaddun manusia hancur. Mereka hidup dalam suasana penuh kebencian, sentiasa menaruh syak dan sangkan yang buruk antara satu sama lain. Hidup dengan penuh perasaan berdendam dan mereka akan berperang dengan sebab yang terlalu remeh. Pedang dan pemerintah kukubesi sahaja yang boleh mendisiplinkan mereka.

Kehidupan sebenar yang diciptakan oleh Allah Pencipta segala kewujudan adalah kehidupan abadi yang telah ditentukan waktunya.

Malangnya kekufuran yang menutup hati golongan kafir telah menghalang mereka daripada mempercayai perkhabaran Nabi s.a.w. mengenai hakikat kehidupan ini. Mereka lebih memilih kehidupan dunia yang penuh dengan tipu-helah ini, penuh dengan kesusahan hidup, penat dan lelah.

Berita mengenai hari kemusnahan dunia, hari dunia ini ditukarkan menjadi dunia baru yang abadi, hari manusia dibangkitkan semula selepas mati, hari manusia dikumpulkan di padang Mahsyar, hari semua amalan manusia di dunia fana ini dihitung dan semua perlakuan manusia ditimbang dan di mahkamahkan, hari manusia ditentukan kesudahannya sama ada ke syurga dengan penuh kenikmatan atau ke neraka dengan penuh keperitan segala-galanya ini dianggap oleh mereka bagai omongan kosong yang tidak ada nilai kebenaran sedikitpun.

Sebenarnya bukan mereka meragui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. tetapi sikap takabbur yang ada di dalam dada mereka telah menjadikan mereka menentang Islam.

Kisah-kisah benar yang bakal menemui setiap manusia ini dipersoalkan oleh golongan kafir Quraisy sebagai olok-olokan. Malah tidak sedikitpun timbul rasa bimbang dan gerun di dalam jiwa mereka.

Sungguh amat menghairankan terhadap sikap tolol dan dungu mereka yang tidak sedikitpun mengindahkan amaran Allah S.W.T sehinga Allah menempelak mereka .

Soalan Kehairanan.

Maksudnya: ”Tentang apakah yang mereka bertanya-tanya itu.”

Soalan ini hanyalah untuk menyatakan kehairanan terhadap kesombongan golongan kafir. Kerana mahasuci Allah daripada kejahilan. Soalan ini sepatutnya menyedarkan orang-orang kafir bahawa Allah maha Mendengar setiap apa yang mereka perkatakan. Tidak sepatutnya manusia boleh mempersoalkan kemampuan Allah mengadakan hari kiamat dan hari pembalasan lebih-lebih lagi golongan kafir Quraisy bukannya golongan athies yang tidak percaya kepada Rububiyyah Allah.

”Tentang peristiwa besar yang bakal berlaku itukah? Yang mereka tidak mempercayainya?”

Allah menyifatkan hari kiamat sebagai `al-naba’ al-`azim’. Berita tentang peristiwa besar yang akan berlaku. Perkataan `Nabi’ adalah kata nama pembuat (isim fa`il) iaitu orang yang membawa berita tentang peristiwa besar yang akan berlaku.

An-Naba al-'Azim.

An-naba' al-'azim ialah: Hari-hari terakhir dunia, hari kebangkitan semula manusia daripada tanah, hari manusia dihimpunkan di sebuah padang luas berbumbungkan langit dengan matahari terik di atas ubun-ubun, hari semua amalan manusia akan diaudit dan ditimbang, hari ditayangkan semua bukti-bukti kesalahan dan kebaikan mereka di dunia dihadapan semua manusia dan hari manusia diadili di mana manusia yang dizalimi semasa hidup di dunia diberi hak menuntut hak-hak mereka daripada orang yang menzalimi mereka.

Apakah mereka tidak mahu mepercayai kebenaran peristiwa besar ini? Apakah mereka meragui kekuasaan Allah Azza wa Jalla untuk mengadakannya?

”Janganlah mereka bersikap begitu, kerana kelak mereka pasti akan mengetahuinya. Sekali lagi janganlah mereka bersikap begitu, kerana kelak mereka pasti akan mengetahuinya.”

Allah yang maha Pengasih sekali lagi mengugut mereka supaya mereka sedar dan beriman sebelum terlambat. Janji Allah ini bukanlah janji-janji kosong yang selalu diucapkan oleh manusia yang ingin melunakkan hati orang-orang bawahan mereka. Segala yang dikhabarkan Allah pasti akan berlaku !.

Sememangnya orang-orang Quraisy tidak patut bersikap demikian rupa dan menentang ajaran nabi Muhammad s.a.w.

Begitulah Allah yang Maha Penyayang menyedarkan manusia kafir agar kembali kepada kebenaran dan mentarbiyah orang-orang yang beriman agar mereka merasai muroqobatullah terhadap perjalanan hidup dan dakwah mereka. Agar orang-orang beriman merasai betapa Allah mendengar dan melihat apa yang dilakukan oleh golongan Quraisy yang menentang mereka. Melalui kritikan Allah ini akan bertambahlah keyakinan orang-orang yang beriman bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap gerak-geri manusia seluruhnya.

Setelah Allah menempelak keengkaran golongan kafir Quraisy Allah SWT menyatakan hakikat Rububiyyahnya, kekuasaan dan Rahmatnya kepada sekelian makhluk, supaya manusia sedar, insaf dan kembali kepada kebenaran. Betapa Allah yang berkuasa menciptakan segala-gala ini mampu untuk menciptakan kehidupan selepas mati, kehidupan sebenar yang abadi.

Surah ini tidak dikhususkan kepada kafir Quraisy sahaja malah untuk semua manusia yang meragui hari akhirat maupun yang beriman.

Bukti Kekuasaan Allah

Allah berfirman yang bermaksud:

” Bukankah kami telah menjadikan bumi mudah untuk kehidupan, dan gunung-ganang menjadi pasak, dan kami jadikan kamu berpasang-pasangan, dan kami jadikan tidur kamu sebagai kerehatan, kami jadikan malam bagaikan pakaian yang menutupi, dan kami jadikan siang untuk mencari kehidupan dan kami binakan di atas kamu tujuh lapisan langit yang kukuh, dan kami jadikan untuk kamu pancaran matahari yang terang benderang, dan kami turunkan daripada awan air hujan yang mencurah-curah supaya kami keluarkan kepada kamu biji-bijian, tumbuh-tumbuhan dan taman-taman yang subur”

Allah menciptakan bumi menjadi sebuah planet yang sesuai dan mudah untuk kehidupan. Bumi menerima cahaya matahari yang bersilih ganti siang dan malam menjadikan suhunya stabil. Tanahnya subur yang ditumbuhkan dengan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan. Segala-gala yang diperlukan oleh manusia untuk menikmati kehidupan diciptakan Allah dan disediakan untuk manusia. Betambahnya ilmu pengetahuan manusia terhadap rahsia ciptaan Allah Azza wa Jalla bertambahlah kesenangan dan kemakmuran yang boleh di berikan kepada umat manusia yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini.

Gunung-ganang yang dibentuk daripada batu-batan yang kukuh menjadi pasak bumi, menstabilkannya ketika menghadapi ribut-taufan, hujan lebat dan banjir besar. Bumi yang bergunung-ganang dengan pelbagai spesis tumbuhan pelbagai warna menjadikannya terlalu indah, tenang dan damai apatah lagi apabila mengalir dicelah-celahnya sungai, jeram dan air terjun yang tinggi.

Segala-gala ciptaan Allah diciptakan berpasang-pasang sebagai satu sistem bagi menjana kehidupan ini dan kesinambungannya. Penciptaan siang dan malam, sejuk dan panas, cas-cas positif dan negatif, jantan dan betina, lelaki dan perempuan, baik dan jahat segala-galanya memainkan peranan yang telah ditentukan Allah dalam sistem ciptaannya untuk kesenangan kehidupan di dunia ini.

Tidur adalah antara nikmat ciptaan Allah kepada manusia. Tidur yang nyenyak di malam gelap tenang, sunyi dan suhu yang dingin memberikan kerehatan kepada otak dan badan manuisa. Dengan tidur manusia dapat mengembalikan kesegaran tenaganya. Kepenatan memerah otak dan tenaga untuk bekerja di siang hari akan pulih hanya dengan tidur nyenyak.

Allah jadikan siang hari mata manusia terjaga, tenaga manusia bersedia untuk berusaha dan bekerja mencari keperluan kehidupan yang telah disediakan Allah untuk mereka.

Allah jadikan di atas manusia tujuh lapisan langit yang mempunyai peranan masing-masing yang Allah mengetahui rahsianya. Ada yang diceritakan Allah Azza Wa jalla peranannya dan ada yang masih memerlukan pengkajian dan penerokaan manusia untuk menyingkap rahsia ciptaan Allah yang Agung ini. Matahari, bulan dan bintang-bintang dialangit telah diceritakan Allah akan peranannya antaranya sebagi sumber cahaya, haba dan pelbagai sinar. Bagi menghitung bilangan saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun dan bagi menentukan arah utara, selatan, timur dan barat.

Pelbagai sinaran cahaya yang terbit taripada matahari mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan di dunia ini selain daripada menerangi alam ia menjadi sumber tenaga kepada manusia.

Angin, awan dan air hujan antara makhluk ciptaan Allah yang amat diperlukan oleh kehidupan ini sebagai sebahagian daipada keperluan kehidupan dan penstabilan kehidupan di dunia ini.

Dengan hujan yang mencurah-curah dibumi menjadikan bumi lembab dan subur berlaku pelbagai proses kimia dan persenyawaan benih tumbuh-tumbuhan yang menghidupkan mukabumi.

Bumi yang subur dengan pelbagai jenis bunga-bungaan yang berwarna-warni, pelbagai haruman yang mengasyikkan, pelbagai bijian dan buah-buahan yang berbagai rasanya merupakan tanda kebesaran Allah dan Nikmat Kurniaannya yang tidak terhitung oleh manusia.

Ayat-ayat al-Quran yang ringkas ini cukup membuktikan keEsaan Allah, Kekuatan, Kebijaksanaan dan Kemampuan Allah untuk melakukan apa sahaja yang di Kehendakinya.

Hari Perhitungan

Allah S.W.T yang menciptakan alam maya yang begitu hebat ini juga mampu untuk memusnahkannya dan menciptakan alam baru untuk kehidupan manusia yang baru.

”Sesungguhnya hari perhitungan itu telah ditentukan waktunya. Pada hari itu akan ditiup serunai sengkakala dan kamu akan datang berbondong-bondong. Akan dibukakan langit menjadi berpintu-pintu dan gunung-ganang diterbangkan dan hilang menjadi seumpama sinar fatamorgana”.

Hari itu manusia dibangunkan semula daripada tanah adalah hari yang telah ditentukan oleh Allah. Setelah malaikat yang ditugaskan untuk meniup terompet meniupnya buat kali kedua, manusia akan keluar daripada tanah dan mereka berduyun-duyun mengikut nabi-nabi mereka menuju padang mahsyar. Langit akan dibuka menjadi berpintu-pintu dan malaikat turun melaluinya ke padang Mahsyar. Bumi yang dahulunya dipenuhi gunung-ganang kini sudah hilang menjadikan bumi terhampar luas sebagai padang mahsyar.

Balasan kepada Thaghut.

”Sesungguhnya Neraka Jahannam telah disedialan untuk golongan thaghin yang akan menghuni neraka, mereka akan tinggal di dalamnya beberapa tahun lamanya, mereka tidak akan menikmati kedinginan dan tidak juga minuman, melainkan daripada air leburan panas dan danur, sebagai balasan yang setimpal terhadap dosa yang mereka lakukan. Mereka semasa di dunia tidak pernah menyangka amalan mereka akan dihitung dan mereka tidak pernah percaya kepada bukti-bukti kebenaran Allah. Pada hari ini semua amalan mereka dihitung dan tertulis..Maka rasakan balasan azab dan Kami tidak akan menambahkan kepada mereka melainkan keperitan azab”.

Inilah ancaman Allah kepada golongan kuffar, dzalim dan mereka yang mati dalam kefasikan thaghut. Perkhabaran benar ini merupakan hujjah Allah kepada manusia, bahawa apa yang bakal mereka temui di dalam kehidupan abadi nanti bukan suatu perkara rahsia yang tidak pernah disampaikan Allah SWT kepada manusia.

Perkataan ”Mirshada” menceritakan keadaan Neraka Jahannam. Perkataan ini mempunyai dua maksud iaitu ”disediakan” iaitu kepada golongan thaghut. Maksud kedua ialah ”mengintai-intai” golongan thaghut. ( Syed Qutub).

Untuk maksud yang kedua Allah menggambarkan seolah-olah neraka juga memiliki perasaan marah, geram dan tidak sabar-sabar untuk memamah golongan yang telah tersenarai sebagai ahli-ahli neraka dikalangan manusia yang tergolong di dalam golongan thaghut semasa hidup di dunia.

”Thaghin” adalah kata nama plural kepada pembuat ( orang-orang yang melampaui batas) . Ia adalah terbitan daripada perkataan ”thagha” yang bermaksud melanggar batas-batas Syarak.

Batasan Syarak.

Batas-batas Syarak termasuklah batas-batas aqidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, dan siyasah.

Batas-batas aqidah adalah aspek-aspek keimanan kepada Allah dan seluruh perkara yang wajib di imani. Melanggar batas-batas aqidah menjadikan seseorang itu termasuk di dalam golongan zalim, kafir, munafiq dan syirik.

Golongan ini sudah pasti menjadi ahli neraka dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Batas-batas hukum ibadah adalah melaksanakan semua kefarduan syarak dalam hubungan dengan Allah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Meninggalkannya dengan sengaja sedangkan mereka berkemampuan melaksanakannya bermakna mereka telah fasik atau ingkar kepada perintah-perintah Allah dan termasuk kedalam golongan ”thaghin”.

Melanggar batas-batas hukum muamalat yang menjadi kewaiban syarak dan melakukan perkara yang diharamkan.

Batas-batas hukum muamalat sesama manusia ialah akad-akad perjanjian muamalat yang dilakukan sesama manusia dan hukum-hukum Syarak yang wajib di patuhi di dalam urusan mu`amalat kewangan termasuk perkara yang berkaitan denganhak-hak dan tanggungjawab sosial yang telah ditentukan oleh Syarak mengenainya.

Hukum-hukum muamalat seperti hukum yang berkaitan dengan urusan jual beli, sewa-menyewa, pinjam-meminjam, upah-mengupah, hutang-piutang. Menjalankan urusan muamalat yang di haramkan seperti mengamalkan riba, menjual arak, berjudi dan menjual perkara-perkara haram.

Begitu juga melanggar batas-batas perhubungan antara lelaki dan wanita. Asalnya wanita diwajibkan berada dirumah dan sekiranya wanita terpaksa keluar rumah kerana melakukan urusa-urusan yang di izinkan syarak mereka diharamkan bertabarruj iaitu keluar dengan mendedahkan aurat dan memakai pakaian yang menjolok mata lelaki.

Kaum wanita dan lelaki diwajibkan menundukkan pandangan mata daripada melihat kaum satu lagi yang membuka panahan Iblis kehati mereka. Hubungan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim adalah diharamkan kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan syarak.

Sebaliknya sengaja berhubung dengan tujuan berseronok, bersuka-ria dan menikmati kenikmatan nafsu mata, telinga dan deria sentuhan kulit adalah termasuk di dalam larangan menghampiri zina.

Larangan ini hanyalah terangkat dengan akad pernikahan yang sah antara lelaki dan wanita melalui walinya.

Apabila pasangan lelaki dan wanita mendirikan rumahtangga mereka wajib memelihara batas-batas Syarak yang berkaitan hubungan suami isteri dan kewajiban melaksanakan tanggungjawab kekeluargaan sebagai seorang suami dan bapa dan seorang isteri dan ibu.

Tugas seorang suami selain mencari nafkah untuk keluarganya beliau juga wajib mendidik isteri dan anak-anaknya agar mentaati Allah dan RasulNya. Tugas isteri selain mentaati suaminya beliau wajib membantu suami di dalam menguruskan rumahtanga dan membantu suami dala mendidik anak-anak agar menjadi seorang muslim yang bertakwa.

Mengabaikan tanggungjawab Syarak dan melanggar hukum-hukum berkaitan perhubungan lelaki dan perempuan dan kekeluargaan ini juga termasuk di dalam golongan fasik dan ”thaghin”.

Begitu juga batas-batas Syarak dalam urusan Siyasah sebuah pemerintahan seperti kewajiban memilih pemimpin yang bertakwa dan terbaik, kewajiban menasihati dan mentaati pemerintah. Kewajiban menegakkan maqasid Syarak di dalam menegak dan memelihara agama Islam dalam kehidupan seluruhnya, memelihara akal rakyat jelata, memelihara harta-benda, nyawa, memelihara kesucian keturunan manusia dan kehormatan diri mereka.

Termasuk di dalam kewajiban Siyasah ialah menguruskan urusan kewangan secara adil berasaskan dasar-dasar kewangan Islam, menguruskan urusan pentadbiran berkaitan kekeluargaan dan kemasyarakatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Syarak . Termasuk juga dalam tanggunjawab siyasah syariyyah melaksanakan hukum-hukum Syarak berkaitan hudud, qisas dan taazir.

Oleh itu golongan `thaghin’ ini bukan sahaja golongan kafir sahaja tetapi termasuk juga golongan yang beriman yang engkar daripada melaksakan hukum-hukum dan tanggunjawab yang telah difardukan Syarak kepada mereka.

Tempoh Orang Fasik Tinggal di dalam Neraka.

”Ahqaba”.

Ia adalah kata plural kepada perkatan `Haqaba” iaitu satu tempoh masa tertentu. Ulama berselisih pendapat dalam menentukan tempoh tersebut.

Antaranya terdapat riwayat daripada Sufyan al-Thauri daripada Ammar al-Duhni daripada Salim bin Abi al-Ja’di berkata : Kata Ali bi Abi Thalib r.a. tentang bulan hijrah apakah yang kamu tahu tentang al-Haqab dalam kitab Allah? Katanya kami dapati ia adalah 80 tahun, setiap tahun 12 bulan, setiap bulan 30 hari dan setiap hari menyamai 1000 tahun.

Berdasarkan riwayat ini ada ulamak mengatakan mereka akan dihumbankan kedalam neraka selama 700 haqab.

Diriwayatkan daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar daripada nabi s.a.w. “ Demi Allah seseorang itu tidak akan dikeluarkan daripada neraka sehingga tingal di dalamnya beberapa ahqab. Sabdanya lagi satu haqab bersamaan lebih kurang 80 tahun, satu tahun 360 hari dan satu hari bersamaan hitungan kamu 1000 tahun.

Ada pendapat yang mengatakan ayat ini dimansukhkan dengan ayat yang mengatakan:

” Maka rasakanlah azab dan kami tidak akan tambahkan kepada mereka melainkan azab”.

Dan ayat: ” melainkan dengan kehendak tuhanmu”

Namun sudah cukup untuk menggerunkan orang yag beriman dan sudah pasti mereka tidak sanggup disiksa walaupun seminit.

”Hamima” adalah air yang teramat panas dan ”Ghassaq” adalah lendir, lendir dan nanah-nanah manusia yang di azab di dalam neraka.

Balasan Golongan Muttaqin

Sebaliknya golongan yang bertaqwa bagi mereka kehidupan yang berbeza.

” Sesungguhnya untuk orang-orang yang bertakwa dikurniakan kepada mereka perlepasan daripada azab dan dimasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan taman-taman dan kebun-kebun anggur.”.

Muttaqin adalah orang-orang yang bertakwa.

Sifat muttaqin tersimpul di dalamnya ciri-ciri orang yang beriman, ciri-ciri seorang Islam dan ciri-ciri seorang yang Ehsan.

Serendah-rendah darjat mereka ialah orang yang melaksankan semua kewajiban, meninggalkan semua larangan dan carahidup mereka tidak menyusahkan makhluk lain dan terselamat daripada termasuk di dalam golongan thaghin.

Golongan ini sahaja yang akan terlepas daripada terjebak ke dalam neraka melainkan mereka yang mendapat keampunan Allah Azza wa Jalla.

Melahirkan identiti muttaqin adalah matlamat siyasah Islam dan Syariatnya.

Orang-orang yang beriman bukan sahaja diwajibkan beriman malah mereka wajib mempertahankan keimanan mereka dan keislaman mereka . Mereka juga wajib berusaha menyampaikan risalah Islam, mengajak golongan yang belum Islam untuk menganuti aqidah Islam dan mendidik mereka agar mencapai darjat muttaqin. Inilah tanggunjawab dan amanah Allah kepada manusia sebagai khalifah Allah dan hambanya. Hanya golongan muttaqin yang akan berjaya melaksanakan misi ini.

Maka bagi golongan muttaqin yang mengharungi kehidupan dunia fana dengan penuh kesabaran dan kesyukuran mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kejayaan mereka.

Antara kurniaan Allah kepada mereka adalah pelepasan daripada Azab bermula dengan azab kubur, azab berlakunya hari kemusnahan dunia, azab di padang mahsyar dan azab neraka.

Nikmat Bidadari.

Antara nikmat syurga yang disebut di dalam surah an Naba’ ini ialah:

” Dikurniakan kepada mereka gadis-gadis sunti sebaya sebagai isteri dan gelas-gelas minuman yang terhidang, aman damai dan tidak kedengaran di sana suara-suara sumbang dan pendustaan, sebagai balasan daripada Tuhanmu sebagai satu pemberian yang menepati perhitungan”

”Kawa`iba atraba”.

Kawaib adalah bidadari-bidadari daripada kalangan gadis perawan yang puting susunya masih tenggelam kerana mereka adalah gadis yang belum pernah disentuh oleh jin mahupun manusia.

Atraba yang sebaya umurnya 33 tahun, yang berakhlak mulia, berkasih sayang, tiada perasaan hasad dengki sesama mereka, bermesra dan bermain-main bersama-sama dan diwujudkan di dalam jiwa mereka perasaan cinta dan rindu hanyalah kepada suami mereka sahaja.

Termasuk dikalangan bidadari ini adalah wanita-wanita dunia malah kemulian dan kecantikan mereka melebihi bidadari syurga bagaikan zahir kaki dibandingkan dengan tapaknya.

Manakala wanita yang berkahwin lebih daripada seorang semasa di dunia akan dikurniakan kepada suami yang terlebih baik akhlaknya.

Hari Pengadilan

” Tuhan langit dan bumi dan segala isi diantara kedua-duanya yang Maha Pengasih dan pada hari itu tiada siapa yang boleh berkata-kata. Pada hari itu malaikat Jibril dan sekelian malaikat akan berdiri tegak tersusun berbaris-baris. Tidak ada sesiapapun yang akan bercakap melainkan mereka yang diberi keizinan oleh al-Rahman untuk bercakap dan dia hanya akan bercakap benar”

Pada hari pengadilan di padang Mahsyar para malaikat berdiri tersusun berbaris-baris. Semua manusia dan malaikat berdiri dan diam. Suasana sunyi dan sepi masing-masing mansia hanya menunggu nasib diri mereka sendiri.

Tidak ada sesiapapun dibenarkan bercakap di majlis mahkamah Allah itu melainkan mereka yang diizinkan untuk berkata-kata. Ketika dia bercakap dia akan bercakap benar.

Hari Kiamat Terlalu Hampir.

”Hari itu adalah suatu yang benar. Sesiapa yang mahu maka kembalilah bertaubat kepada Tuhannya. Sesungguhnya kami memperingatkan kamu terhadap azab yang terlalu hampir. Pada hari itu manusia akan melihat segala apa yang mereka pernah lakukan dan orang-orang kafir akan menyesal dan berkata alangkah baiknya kalau aku hanyalah seketul tanah..”

Bandingan hidup di dunia dengan hidup di akhirat hanyalah terlalu sedikit. Sehari di akhirat menyamai 1000 tahun mengikut kiraan masa di dunia ini. Tempoh kehidupan seseorang di dunia amat singkat dan tidak sampai seratus tahun. Maka tempohnya untuk menempuh alam akhirat amatlah dekat.

Oleh itu bersegeralah bertaubat daripada sikap seorang thagha kepada bersikap dengan sikap orang yang bertakwa kerana tidak guna lagi penyesalan di hari akhirat apabila semua amalan manusia dipamerkan didepan manusia seluruhnya.

Wallahua’lam.

Rujukan: Tafsir Ibn Katsir dan Fi Dzilal al-Quran.


Oleh: Ustaz Annuar Salleh, YDP ISMA DHL
Sumber: Renungan2u