Aspek pemikiran kritis yang diajar oleh Dr. Fauzi Hamat amat menarik untuk dihayati. Penulis menganggap beliau sebagai sangat ‘pakar’ dalam soal mantik. Mana tidaknya jika buku beliau bertajuk “Ketokohan al Ghazzali dalam bidang mantik” menerima anugerah sebagai buku paling laris jualannya daripada Penerbit Universiti Malaya. Cukup banyak yang penulis pelajari daripada beliau. Bukan ingin memuji namun ia cukup memberi pendedahan berguna kepada penulis tentang bidang pemikiran yang sebenar. Salah satu aspek penting yang dipelajari penulis adalah memahami konteks sebenar ‘Pak Turut”.
Dunia ini seperti mana telah dimaklumi semakin lama semakin berkembang. Perkembangan itu bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal pada muka bumi ini tetapi ia seiring dengan perubahan tamadun bangsa dan sekali gus melibatkan peralihan pemikiran setiap individu masyarakat itu agar tidak dianggap ‘kuno’ atau ketinggalan zaman.
Seandainya dunia ini sentiasa statik dan tiada perkembangan sama ada daripada segi pemikiran, pembangunan daya insan, kebolehan untuk mencipta dan sebagainya, sudah tentu seluruh warga dunia itu akan terus terperosok ke dalam dunia yang sentiasa mundur.
Walau bagaimanapun, realitinya kini masyarakat dunia boleh berbangga kerana mereka semua memiliki daya pemikiran yang tidak mahu mundur tetapi sentiasa ingin maju dan seterusnya memacu diri dan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih selesa, moden dan sentiasa mampu meningkatkan lagi pembangunan mereka untuk mencapai hidup yang sentosa.
Tiada manusia yang tidak mahu maju. Namun dalam usaha kita mengejar kemajuan, sering kali kita terlupa bahawa kadangkala kita masih lagi gagal untuk membawa kemajuan dan pembangunan pemikiran kita secara total. Kita masih lagi mengikut dan menggunapakai beberapa pemikiran yang ternyata tidak releven tanpa banyak bicara. Kita masih lagi mengamalkan ‘budaya pak turut’.
BEZA TAQLID
Kamus Dewan edisi terkini tidak menyatakan maksud sebenar pak turut. Namun umum mengetahui bahawa istilah ini merujuk kepada satu sikap yang hanya menerima tanpa banyak membantah. Seolah-olah kita menjadi pengikutnya. Mungkin ramai merasakan istilah ini mungkin juga berhubungkait dengan istilah arab iaitu taqlid. Namun sebenarnya ternyata ia berbeza.
Dalam membicarakan taqlid, mungkin ia lebih merujuk kepada menerima apa sahaja yang ditentukan oleh orang terdahulu tanpa usul periksa. [Muhammad al-Khudhari, Tarikh al-Tasyri' al-Islami, hal. 324]. Prinsip taqlid lebih berhubungkait dengan ijtihad para ulama’ silam yang terus digunapakai oleh masyarakat terkemudian tanpa melakukan sebarang tajdid (pembaharuan) oleh masyarakat kini meskipun mungkin telah berlaku perubahan semasa yang memerlukan hukum itu diijtihad semula.
Ternyata taqlid adalah berbeza dengan prinsip pak turut. Jika taqlid lebih merujuk kepada sikap umat Islam yang hanya mengikut ijtihad ulama’ silam, namun pak turut lebih kepada terlalu mengikut sikap dan budaya turun temurun nenek moyang yang sememangnya banyak bercanggah dengan syarak. Malah ia bukan sahaja merujuk kepada budaya turun temurun tetapi juga melibatkan sikap suka mengikut membuta tuli tanpa sebarang pertimbangan dengan pemikiran dan budaya kini.
Jelas pak turut lebih melibatkan unsur dahulu dan juga kini. Mereka terlalu mengagungkan budaya turun temurun dan mereka juga terlalu mengikut budaya kini meskipun ternyata tidak menepati kehendak Islam. Islam amat menekankan peri pentingnya umat Islam bersifat analitikal dalam kehidupan dan tidak menjadi pak turut. Al-Quran dan as-Sunah menggesa umat Islam agar tidak mudah menerima bulat-bulat sesuatu perkara tanpa diteliti terlebih dahulu. [ Fauzi Hamat, (2004)].
Dalam membicarakan tentang pak turut ini, Al-Quran menjelaskan seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 10-171 yang bermaksud “Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya”. Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”
Dalam Surah al-Maidah ayat 104 seterusnya menjelaskan “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa Yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi Kami apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami mengerjakannya”. Adakah (Mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?”
BUDAYA TURUN TEMURUN
Jelas berdasarkan kedua-dua ayat tersebut secara jelas menjelaskan kepada kita sikap pak turut ini sebenarnya melibatkan sikap suka mengikut dan mengamalkan budaya-budaya nenek moyang dan mempercayai perkara-perkara khurafat yang diwarisi hantuoleh ahli masyarakat sejak zaman berzaman meskipun ia bercanggah dengan Islam. Masih ada lagi serpihan-serpihan unsur turun temurun yang sentiasa membelanggu diri dan masyarakat kita kini.
Budaya masyarakat Arab dahulu sering mengamalkan budaya khurafat seperti mandi safar dan petanda burung hantu. Malah dalam sebuah hadis diceritakan Rasullulah juga menolak andaian liar para sahabatnya yang cuba mengaitkan kejadian gerhana matahari yang secara kebetulan berlaku serentak dengan kematian puteranya Ibrahim kerana kejadian gerhana adalah suatu sunah Allah dan tiada kaitan dengan kematian atau kehidupan manusia [Riwayat Bukhari].
Jika diteliti masyarakat Melayu khususnya, ternyata masih lagi yang berpegang dengan amalan nenek moyang yang sentiasa dianggap sebagai adat yang tidak boleh ditinggalkan meskipun ia khurafat. Adat suka memakai pendinding seperti tangkal, menggunakan sihir dan sebagainya masih lagi diamalkan meskipun dilarang Islam. Malah masyarakat Melayu dalam hal melibatkan kenduri sentiasa terlalu rigid dan kuat berpegang kepada amalan adat masyarakat.
Jika berlaku kematian, maka adalah menjadi kewajipan keluarga si mati mengadakan kenduri tahlil sehingga 7 hari, setiap bulan, 40 hari berturut-turut dan sebagainya. Semua amalan ini tidak salah dilakukan namun sekiranya ia membebankan keluarga si mati, sudah tentu ia adalah haram di sisi Islam. Mengapa perlu kita terlalu mengikut adat sedangkan Islam tidak membebankan umatnya.
Apa yang menjadi masalah ialah kerana sikap masyarakat kita sendiri yang mungkin akan ‘cakap belakang’ sekiranya tiada majlis tahlil dibuat atau hanya dibuat sekali sahaja. Malah ada yang sanggup bertanya kepada keluarga si mati berapa kali kenduri tahlil ingin dibuat. Jelas, budaya dan adat pemikiran sebegini perlu dicantas kerana mentaliti pak turut yang hanya kekal dengan adat sebegitu adalah menyusahkan dan tiada gunanya.
Orang Melayu sering terlalu mengikut pandangan serta amalan yang telah lama menjadi kebiasaan. Kadangkala perkara yang dimudahkan Islam dan mempunyai hikmah di sebaliknya dianggap sebagai keterlaluan dan tidak sesuai dengan orang Melayu. Islam amat menganjurkan wasiat dibuat sebelum berlaku kematian.
Ini dapat memudahkan sebarang bentuk pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia. Namun orang Melayu menganggapnya sebagai suatu yang tidak baik kerana seolah-olah menunjukkan bahawa seseorang itu tamak pada harta dan mungkin menunjukkan seolah-olah sudah hendak mati! Bukankah kita sering mendengar orang Melayu selalu bertanya apabila berlaku kematian apakah ada tanda-tanda sebelum kematiannya? Mungkin mereka beranggapan jika dibuat wasiat sebelum kematian menunjukkan tanda ajal hampir datang!!!
Persoalannya kini, mengapa perlu kita terlalu menjadi pak turut dengan semua budaya atau amalan majoriti ahli sesebuah masyarakat itu yang jelas tiada kesahihannya. Ini kerana adalah jelas ia hanyalah berdasarkan sangkaan semata-mata dan bukan berasaskan dalil yang qat’ie. Firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 116 “Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.”
PAK TURUT MASA KINI
Seperti yang dijelaskan penulis, mentaliti pak turut bukan sekadar melibatkan keterikatan masyarakat pada budaya nenek moyang yang tidak Islamik namun ia juga perlu diperluaskan skopnya pada masa kini dengan meneliti bentuk pemikiran dan budaya yang sentiasa menjadi ikutan meskipun bertentangan dengan ajaran Islam.
Budaya kontemporari kini hasil saduran puak-puak Barat bagi mengeksploitasikan minda umat Islam haruslah tidak dipandang enteng. Ia kelihatan begitu mendapat tempat dalam masyarakat kini. Budaya hedonisme akibat proses globalisasi membawa kepada bentuk-bentuk hiburan melampau ala Barat yang menampilkan artis-artis berpakaian lucah dan mencolok mata, majalah hiburan yang berleluasa serta pelbagai lagi unsur songsang yang mula membanjiri dan mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup umat Islam kini.
Semua aliran pemikiran kontemporari yang bercanggah dengan Islam ini sekiranya terus menerus mempengaruhi masyarakat kita, bakal membawa perubahan yang besar pada pemikiran mereka. Secara mudah, warga dunia tidak lagi akan diklasifkasikan mengikut masyarakat Barat atau Timur.
Jika masyarakat Timur terkenal dengan kesopanannya manakala Barat sering dianggap satu unsur yang sebaliknya, namun satu hari nanti mungkin akan hanya wujud satu warga dunia yang berpaksikan unsur Barat akibat sikap mentaliti masyarakat Timur yang terus menjadi pak turut kepada promosi budaya Barat.
Dalam diam, kita dapati budaya Barat semakin menghakis budaya Timur milik kita. Ini semua akibat mentaliti kita yang sering menjadi pak turut dalam segala hal melibatkan budaya asing. Jika mereka menayangkan model yang berpakaian lucah atau membotakkan kepala, kita juga ingin menjadi jaguhnya. Jika mereka melakonkan aksi panas dalam filem, kita juga ingin membuatnya dalam filem kita. Jika mereka ada gadis litar berpakaian lucah pada setiap kali perlumbaan, kita juga mesti ada. Mujurlah isu ‘gadis litar’ ini berjaya diketengahkan oleh wakil rakyat kita di Parlimen baru-baru ini.
Kita khususnya orang Melayu terlalu mengikut dan menjadi jaguh pak turut sedangkan masalah kita sendiri kita gagal selesaikan. Apa yang penting kini ialah kita perlu mempunyai nilai pemikiran yang mampu tidak terlalu mengikut tetapi perlu bermentaliti suka berfikir sebelum mengikut.
Pemikiran kelas pertama yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita bukan sekadar menyeru masyarakat berfikir secara dinamik untuk pembangunan negara namun ia juga melibatkan soal berfikir sebelum menerima dan mengamalkan sesuatu perkara.
MINDA MELAYU
Minda orang Melayu khususnya perlu dibuka dan tidak terlalu disempitkan dalam segala hal. Orang Melayu sering menganggap jika ingin bertaubat, pergilah buat umrah. Sedangkan bertaubat boleh di mana-mana sahaja dan bukannya di Mekah sahaja. Kita sering menjadi juara ‘Pak Turut’ dalam hal-hal berpuak-puak. Orang berdemonstrasi, kita juga ingin turut serta namun apabila ditanya apa tujuan demonstrasi tersebut, kita sendiri tidak tahu matlamatnya.
Jangan biarkan emosi kita membelanggu diri tetapi carilah jalan yang lebih rasional. Kita tahu akan gagal demonstrasi jika kita anjurkan bagi membantah sesuatu perkara malah mungkin ia akan mencalar imej kita sendiri khususnya imej Islam di kaca mata bukan Islam. Maka carilah alternatif lain yang lebih sesuai. Usah jadi ‘pak turut’ pada nafsu dan emosi sendiri. Biarlah mereka begitu teruja untuk berdebat ala kebodohan (stupid debate), namun biar kita anjurkan debat akademik.
Begitu juga soal aurat. Orang Melayu beranggapan bertudung sahaja adalah sudah menutup aurat. Sedangkan konsep aurat bukan sekadar memakai tudung tetapi melibatkan anggota badan lain yang ditetapkan oleh Islam.
Kita ingin mendidik umat Islam tetapi kaedahnya gagal. Kebanyakan masjid atau surau yang terdapat papan tanda menutup aurat bagi pengunjungnya hanya memaparkan gambar perempuan menutup kepala dengan tudung sahaja dibenarkan masuk manakala gambar perempuan tidak bertudung dilarang masuk. Secara jelas ini seolah-olah menunjukkan bertudung sahaja sudah menutup aurat walaupun bahagian aurat lain didedahkan.
Begitu juga isu memakmurkan masjid. Mentaliti pak turut orang Melayu hanya menganggap masjid sebagai tempat solat, membaca Quran dan beribadat sahaja. Kuliah atau tazkirah hanya berkisar tentang ilmu agama sahaja. Sedangkan jika diteliti fungsi masjid adalah luas dan perlu dipelbagaikan kegunaannya.
Kita ingin menarik golongan muda supaya tidak ‘takut’ ke masjid tetapi gagal kerana tiada satu aktiviti yang sesuai dengan jiwa mereka. Mungkin pihak masjid boleh menganjurkan bengkel komputer, kelas tuisyen atau konvoi bermotor remaja. Semua program yang disusun perlulah bersesuaian dengan jiwa remaja barulah kemakmuran masjid terlaksana dan tiada rasa ‘takut’ ke masjid menyelubungi mereka.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bukan semua perkara khususnya melibatkan adat masyarakat Melayu turun temurun adalah salah namun ia perlulah diteliti terlebih dahulu. Malah terdapat adat Melayu yang bersadurkan Islam sesuai untuk diamalkan. Mana yang baik diambil dan yang buruk dibuang. Rasullulah bersabda bermaksud ” Janganlah kamu jadi pak turut. Kamu kata (berpandangan) kalau manusia berbuat baik, kamu pun akan turut berbuat baik, kalau mereka melakukan kezaliman, kamu pun akan turut berbuat zalim. Tetapi tetapkanlah diri kamu, kalau manusia melakukan kebaikan, kamu akan turut berbuat kebaikan dan kalau mereka melakukan kejahatan, maka janaganlah kamu turut melakukan kezaliman (sebagaimana dilakukan khalayak masyarakat) ” [Riwayat al-Tirmidhi]
Mentaliti pak turut sebenarnya mampu dikikis sekiranya masyarakat sedar akan pentingnya untuk berfikir sebelum menerima sesuatu perkara. Kita seharusnya tidak hanya menerima semua perkara walaupun perkara itu ternyata tidak bertepatan dengan Islam. Malah kaedah bagi mengikis mentaliti tersebut perlulah bersifat pragmatik dan bersesuaian tanpa terlalu rigid. Ini kerana kaedah penyelesaian yang sama dan tidak berubah juga melambangkan mentaliti yang pak turut.
Biarlah kita melaksanakan satu perubahan dengan cara yang berlainanan daripada orang lain atau ‘lain dari yang lain’ tetapi hasil serta natijahnya adalah amat membuahkan hasil. Pendek kata, apa yang penting di sini ialah “Janganlah kita terlalu menjadi pak turut kepada perkara yang mengarut tetapi jadilah seorang yang suka menurut kepada setiap perkara yang perlu dituruti sahaja.” Mungkin dengan ini, masih ada lagi harapan bagi mengikis mentaliti ‘Pak Turut’ ini…
Hormat daripadaku kepada guruku…
from; syafiqe.wordpress.com/.../
Wednesday, January 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment