Sunday, December 28, 2008
Bukan Yang Pertama (Siri 126)
"SABARLAH. Itu kan ujian Tuhan," selalu pula Umar Khalil memujuk rasa yang
saling bergalau tidak keruan dalam mindanya. Malam ini juga, sekali lagi
lelaki
itu memujuk. Walaupun sekadar pujukan yang klise, tetapi sekurang-kurangnya
dia terasa diri kuat sebentar.
"Saya akan cuba..." balasnya.
"Saya kan ada. Kalau awak susah, saya akan tolong, jangan risau..." itu lagi
janji UmarKhalil.
Yasmin Zulaikha mengejapkan pegangan telefon. Dia tidak pasti apa sebenarnya
yang berbuku menjadi racun yang mendak di dasar hati. Tetapi yang pasti ada
sejumlah besar rasa serba salah mengepung hatinya.
"Er... awak... saya ada terfikir kalau kita boleh tangguhkan majlis kita tu.
Saya bimbang mengenai mak...."
Umar Khalil diam di hujung talian. Hanya kedengaran desah nafas yang berat.
Yasmin Zulaikha di talian sini berdebar dalam hati. Terasa paluan jantung
tidak ketahuan hala sejenak.
Dia pandang lagi keluar jendela, mendongak ke langit yang gelap bukat,
bagaikan mencari jawapan. Dia tahu tiada jawapan di sana. Jawapan mungkin
ada pada
Umar Khalil.
"Awak mahu saya beri jawapan? Tapi adakah jawapan saya ini boleh selesaikan
masalah awak sekarang?" Itu pula yang terlontar dari mulut Umar Khalil.
Yasmin Zulaikha tergamam, terdiam. Jelas, dia tahu itu reaksi tidak puas
hati dari jiwa Umar Khalil. Entah mengapa dia boleh terlepas permintaan itu?
Itu
satu permintaan yang tentu boleh menyentap hati tunangnya!
"Zu, masalah awak sekarang adalah mengenai kesihatan mak yang tak menentu.
Tapi saya percaya, mak akan sihat nanti. Mak akan pulih. Kita doa.
Banyak-banyak
doa. Saya percaya, menjelang hari perkahwinan kita hujung Syawal nanti, mak
sudah betul-betul sihat...." lembut tenang dan teratur bicara Umar Khalil
masuk
ke telinganya.
Jeda. Jeda agak lama.
"Zu...."
"Saya!"
Umar Khalil mengeluh di hujung talian. Namun jauh dalam hati, dia cuba
memahami keliru yang melingkungi minda tunang tersayang. Cuba mengusir pergi
kabut
yang berselubung di jiwa ratna hatinya.
Wajah tunang yang punya sepasang mata jernih bersinar dan memiliki senyuman
bagaikan gula itu bermain di layar pandang. Dia juga tahu, malah dapat
membayangkan
wajah tunang kala ini. Gadis itu kalau terbelenggu emosi atau beralih mood,
wajahnya akan jadi begitu serius, luput senyuman dan kadangkala boleh
menakutkan
orang yang memandang!
"Saya faham rasa bimbang awak tu. Tapi macam saya cakap, saya ada. Saya akan
tolong. Keluarga saya akan bantu. Awak ni kadangkala tamak, kadangkala macam
nak tunjuk hebat, semuanya hendak buat sendiri, seperti tidak percaya pada
orang lain. Awak takkan mampu buat semuanya seorang diri, Zu. Tak usah jadi
superwoman. Percaya dan agihkan pada orang lain juga," langsung, tajam dan
dalam maksud yang dihantar oleh Umar Khalil.
Merasuk
Terkedu Yasmin Zulaikha.
Begitukah dia pada penilaian Umar Khalil?
"Maaf..." hanya itu mampu dia katakan.
Telefon masih kejap dalam genggaman. Wajah terasa panas mendadak. Malu
memanjat ke sekujur jiwa. Dia barangkali akan dianggap mementingkan diri.
Tiba-tiba dia tersedar, sebenarnya resah tidak keruan ini adalah perasaan
yang saling tidak menentu yang cuba merasuk dirinya, yang cuba membuatkan
dia
keliru dan bimbang tidak bermatlamat. Kebimbangan ini, jika dibiarkan boleh
menyebabkan dia nanar tidak menentu.
"Zu...." suara Umar Khalil kembali lembut menerjah gegendang telinganya.
"Dengarlah cakap saya. Jangan terlalu memberatkan diri. Setiap kita ada
batasan dan hadnya. Tapi Allah takkan menguji kita lebih daripada kemampuan
yang
kita ada. Ingat tu..."
Air mata Yasmin Zulaikha menitik. Spontan jarinya mendarat menghapuskan air
mata yang berlinang. Entah mengapa ungkapan itu terasa begitu menyejukkan
dan
mendamaikan hati. Ironinya dalam damai dan sejuknya ungkapan itu, dia
serasa-rasa bagaikan jiwanya kembali dibakar.
"Dengar Zu?"
"Dengar..."
"Lagi satu..." jeda beberapa saat di sana.
"Apa dia?"
"Jangan sekali-kali sebut lagi mengenai tangguhkan perkahwinan kita. Jangan
buat saya sakit jantung! Hujung-hujung Ramadan begini, kita patut lebih
banyak
berdoa minta perkenan Allah supaya semuanya dapat berjalan ikut
rancangan..."
Mematikan talian telefon, menyeka air mata yang berlinang, dia lihat langit
masih gelap bukat. Tetapi dalam pekat gelap itu juga dia nampak kelipan
bintang
bagaikan taburan berlian di atas baldu hitam. Bukankah kerlipan itu mewakili
harapan?
Dia menjenguk sekali lagi ke kamar emak, melihat emak tersayang sedang
berusaha untuk melelapkan mata kembali. Kata emak, dia baru terjaga dan
hendak pujuk
mata untuk lena semula. Cahaya kamar sedikit berbalam kerana hanya lampu
kecil di atas meja pinggir katil yang berfungsi.
"Mak sakit sikit saja. Doakan mak boleh tahan semua ni. Insya-Allah, mak
sempat sambut raya dan sempat tengok Min selamat jadi isteri orang..." gumam
emak
perlahan, di sebalik senyuman paksanya. Ada butir gurauan dalam suaranya.
Tersirat optimis di sebalik nadanya.
"Mak akan sihat. Jangan fikir yang bukan-bukan," balasnya segera.
Dia minta diri berlalu. Membasahkan anggota tubuh dengan wuduk dan bersiap
untuk menghadap-Nya. Resah begini, hanya solat jadi penawar dan penenang
jiwa
yang terbaik. Bukankah itu sumber motivasi terbaik?
Usai solat, dia capai pula al-Quran Tafsir Pimpinan Ar-Rahman di atas meja.
Membuka halaman bertanda, di hujung Ramadan ini, dia baru tiba di juzuk ke
dua
puluh satu, surah Luqman. Surah 34 ayat yang diturunkan di Mekah, mengenai
orang yang beroleh kebahagiaan dan beroleh hidayah, mengenai Luqman hamba
Allah
yang bertakwa dan penyerahan diri pada Allah yang Esa.
Bahawa ayat-ayat Allah ini sarat hikmah dan kebenaran kukuh, yang menjadi
hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang yang sedia mengerjakan amal yang
baik.
Orang yang baik itu adalah orang yang mendirikan solat, memberi zakat dam
yakin kewujudan hari akhirat.
Berselang-seli membaca sambil diiringi rujukan pada terjemahan, dia cuba
menghayati maksud yang dihantar lewat seruan itu. Makin lama meneroka jauh
ke dalam
tafsiran itu, terasa diri makin bodoh. Tetapi dia cepat sedar bahawa mungkin
itu proses pembelajaran yang sebenarnya, bahawa semakin kita mengenal ilmu,
semakin kita kenali kebodohan dan kejahilan diri sendiri.
Yasmin Zulaikha memejamkan mata. Air mata berjurai lagi.
Ya Allah, benar-benarlah Ramadan kali ini sungguh menguji tetapi juga
mendidik jiwanya!
(Bersambung)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment