Oleh SALINA IBRAHIM
Majlis pertunangan Yasmin Zulaikha dengan Umar Khalil berlangsung hujung minggu itu dalam suasana yang amat ringkas tetapi penuh kekeluargaan. Penuh kekeluargaan kerana kebanyakan anggota keluarga kedua-dua belah pihak hadir sama.
Sebelah pihak Umar Khalil, hadir Muna bersama suaminya. Juga abang mereka yang menetap di Kuala Lumpur turut meluangkan masa bersama isterinya ke majlis pertunangan si adik bongsu. Mereka sekeluarga tiba dari Kuala Lumpur semalam dan hari ini anak-anak semuanya ditinggalkan di kediaman Ustazah Wan Faezah.
Cuma kakaknya yang menetap di Johor tidak dapat datang, sekadar menitipkan salam dan pesan. Ustazah Wan Faezah dan suaminya Cikgu Rashid pula bertindak selaku orang tua bagi pihak Umar Khalil.
Di sebelah keluarga Yasmin Zulaikha, riuh dengan kehadiran Abang Yassin suami isteri serta anak-anak mereka. Juga beberapa jiran terdekat dan saudara mara akrab. Majlis itu kelihatannya seperti sudah jadi suatu acara untuk berkenal mesra apabila selepas beberapa ketika berbual, dapat pula dibongkar kaitan sangkutan keluarga ini dengan keluarga di sana.
Perbincangan ringkas, tiada langsung berpantun-pantun atau berbalas bertepak sirih. Sekadar membincangkan hal yang penting dan patut sahaja. Kebanyakan perkara sebetulnya sudah diketahui hasil perbincangan tidak rasmi antara emak dengan keluarga Umar Khalil.
Muna diberikan penghormatan untuk menyarungkan cincin ke jari manis Yasmin Zulaikha. Si kakak yang peramah itu ceria sekali wajahnya. Suara dia sahaja yang paling banyak kedengaran. Mungkin kerana dia sudah terbiasa dengan orang dalam rumah ini menyebabkan dia tiada silu-silu lagi.
“Umar kirim salam. Dia ada tugasan mengejut tengah hari tadi. Mungkin lepas tu baru dia singgah nak jumpa tunang tersayang,” bisik Muna seraya mencium pipi kanan dan kiri bakal adik ipar.
Yasmin Zulaikha tersenyum. Hati bergetar bahagia. Dia sudah mengajar diri untuk menerima Umar Khalil seadanya. Dia sudah belajar menyemai perasaan terhadap lelaki itu sebagai persediaan sebelum lelaki itu jadi suaminya nanti. Dia harap mulai detik ini, dia akan menjadi orang yang lebih bertanggungjawab terhadap Umar Khalil.
Tetamu mula menikmati jamuan ringan. Suara borak, ilai tawa dan usik sakat mula kedengaran, hangat kemesraan. Anak-anak Abang Yassin berebut sesuatu di ruang tamu, sedikit menjerit-jerit, langsung dikerah ibu mereka supaya bermain di halaman. Mula-mula kelihatan berdegil tetapi selepas dijegil bapa mereka, mencicit mereka melarikan diri.
Yasmin Zulaikha menyertai tetamu, mahu ambil kesempatan lebih berkenal akrab dengan keluarga bakal suami.
Kakak ipar Umar Khalil ramah menggesa dia mengambil tempat berhampiran mereka. Mula membuat interviu; bertanya itu ini, terutamanya mengenai perkenalan mereka berdua, hal niaga dan program homestaynya.
“Umar baru-baru ini saja bercerita mengenai Yasmin. Jadi kami excited juga nak kenal Yasmin,” kakak iparnya, yang dibahasakan sebagai kak long membuka mulut.
Orangnya berisi, berkulit cerah dan murah senyuman. Kalau tidak silap, Umar Khalil pernah memberitahunya, kakak ipar yang seorang ini bertugas sebagai guru. Abangnya pula berkulit lebih gelap daripada Umar lebih rancak makan.
“Umar macam abang long juga, kalau suka satu orang, takkan cakap apa-apa selagi tak jadi. Dah nak bertunang, baru nak bercerita. Dia takut, lepas yang dulu tu tak jadi...” bakal abang iparnya mencelah pula.
Si isteri cepat menepuk paha suaminya.
“Apa cakap pasal yang dulu depan Yasmin? Tak eloklah abang ni...”
Lelaki itu tersengih.
“Terlupa pula abang. Alah, Yasmin jangan risaulah! Umar ni setia orangnya, macam abang dia juga,” lanjutnya lagi, sekali lagi si isteri menepuk pahanya.
Yasmin Zulaikha tergelak. Rasa terhibur pula dengan celoteh suami isteri itu. Pasangan peramah ini tidak banyak berbeza dengan karakter Umar Khalil juga.
“Tak apa, kak long. Saya tak kisah,” dia membalas.
“Dulu masa di Kuala Lumpur, Umar rapat dengan kak long, selalu datang tidur di rumah kami di Putrajaya. Cuma sejak dia pindah ke sini, kami jarang-jarang jumpa...” Kak long bercerita lagi.
Kisah itu juga Yasmin Zulaikha sudah tahu dari mulut Umar Khalil. Dua tiga hari ini lelaki itu banyak berkisah hal keluarganya. Setiap seorang abang dan kakaknya diperincikan untuk makluman bakal tunang.
“Cerita awal-awal supaya Zu tak terkejut lepas jumpa mereka nanti. Takut nanti tak terlayan, terutamanya abang long dan kak long. Saya sendiri pun kadangkala tak terlayan mulut banyak kak long tu,” Umar Khalil ketawa di hujung bicara.
Suara lembut teratur, tidak lagi membahasakan diri aku-kau seperti sebelum ini. Katanya, dia mahu belajar lebih bersopan dengan bakal isteri. Melayan (bakal) isteri tentunya tidak sama seperti melayan kawan-kawan.
Memang benar kata-kata Umar. Tetapi dia senang dengan kemesraan yang ditunjukkan anggota keluarga Umar Khalil ini.
Tunangnya itu hanya tiba ketika anggota keluarganya sedang bersiap-sedia untuk berangkat meninggalkan kediaman Yasmin Zulaikha. Bersorak adik beradik Umar Khalil ketika melihat kereta si adik membelok masuk. Anak muda itu tersengih-sengih sahaja diusik sakat.
“Maaflah, lepas habis tugasan, balik ke pejabat untuk siapkan bahan dulu. Kalau bertangguh, takut tertunggu-tunggu pula orang di ibu pejabat,” dia memberi alasan, sempat bercerita ringkas mengenai kunjungan perdana menteri tengah hari tadi.
Sepatutnya bukan tugasan dia tetapi kerana wartawan yang sepatutnya bertugas tiba-tiba cuti mengejut kerana ibu mentuanya meninggal dunia, maka Umar Khalil terpaksa mengambil alih tugas itu.
“Kami dah nak balik. Umar tinggallah. Tapi jangan lebih-lebih. Baru bertunang, belum apa-apa lagi tahu!” Muna sempat memberi amaran ketika berlalu ke kereta.
“Hisy! Apa Kak Muna ni, malu cakap macam tu depan mak cik...” Umar Khalil sedikit menyanggah, sedikit segan silu kerana ibu Yasmin Zulaikha ada di situ.
Muna tergelak-gelak, suka hati melihat wajah adik yang serba salah.
Emak tersenyum-senyum.
Adik beradik Umar Khalil yang lain tumpang ketawa.
Kenderaan MPV milik abang long Umar Khalil bergerak keluar ke jalan raya, meninggalkan debu-debu yang berterbangan sebelum mendak semula ke bumi.
“Min, ajaklah Umar masuk. Makanan banyak lagi di dalam. Jamahlah dulu apa yang patut,” emak bersuara sebelum melangkah masuk.
Umar Khalil tersenyum. Bergerak ke pintu, menanggalkan kasut dan melangkah masuk. Ruang depan sedikit berkecah. Anak bongsu Abang Yassin terlentang lena di atas sofa. Yasmin Zulaikha menghela tetamu istimewanya ke dapur. Hidangan tersedia di atas meja, baki makanan yang dipindahkan ke pinggan baru untuk dinikmati tetamu yang baru.
Yasmin Zulaikha menemani Umar Khalil makan, bercerita serba sedikit majlis tadi. Emak datang menyertai mereka tetapi minta diri beberapa minit kemudian kerana mahu melayan teman-temannya yang mahu beransur pulang.
“Zu dah okey sekarang?” Umar Khalil memandang Yasmin Zulaikha.
“Baik saja...” si gadis selamba.
Umar Khalil tersenyum.
“Ini detik baru bagi kita. Saya harap kita sama-sama bersedia untuk masuk ke satu lagi fasa baru selepas ini...” suara Umar Khalil tenang.
“Insya-Allah...”
Mereka saling bertukar senyuman.
Bersambung
Sunday, December 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment